zulikhwan
Masyarakat Islam kini tidak lagi meletakkan Islam ditempat pertama, menyisihkan Islam daripada kehidupan seharian. Secara zahirnya, diperhatikan Islam kini diamalkan oleh masyarakat kita hanya pada empat keadaan sahaja iaitu semasa kelahiran (majlis aqiqah dan tahnik), semasa berkhatan, perkahwinan dan kematian. Hakikatnya Islam sebenarnya adalah satu tatacara hidup yang menyeluruh meliputi segala ruang lingkup kehidupan.
Ramai yang mengambil cakna mengenai keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM anak-anak rakan dan saudara mara namun tidak ramai yang bertanya mengenai keputusan PSRA, PMRU, SMA dan STAM. Tidak ramai juga yang mengambil peduli mengenai anak-anak yang tidak tahu solat, tidak kenal huruf al Quran dan tidak pernah berpuasa. Inilah realitinya, masyarakat kita cuma menganggap agama cuma perkara sampingan dalam kehidupan.
Jika mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, pasti ramai yang bertanya ke negara mana mahu terbang menggunakan biasiswa JPA atau MARA tetapi pasti ramai yang kecewa jika jawapannya mahu menyambung Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kerana mahu terbang mendalami ilmu agama. Mungkin hal ini kita anggap biasa namun ia sudah cukup menggambarkan pada sudut mana agama diletakkan di sisi masyarakat kita. Tanya saja, berapa ramai ibubapa yang menyuruh anak-anaknya bersungguh-sungguh mendalami ilmu agama, ramai yang cuma tahu menghabiskan wang beratus ringgit membayar tuisyen demi memastikan anak-anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Sanjungan yang terlalu agung diberikan kepada anak-anak yang cemerlang dalam bidang akademik, bijak, genius dan pandai. Mereka dihantar ke tempat-tempat pengajian yang terbaik tetapi jika anak-anak yang agak sengal, lembab dan bodoh-bodoh ubi mereka dicampakkan ke mana-mana pondok untuk mendalami ilmu agama. Kata mereka "kalau sudah bodoh tu pergilah belajar agama, yang cerdik pandai jadi doktor dan engineer. Nanti dapat gaji mahal, hidup pun senang". Masyarakat kita sudah tunggang terbalik. Sisi pandangan masyarakat kini mengatakan tidak layak golongan cerdik pandai mendalami ilmu agama. Tidak perlu tunggu lama, sedikit masa lagi kita boleh lihat akan lahir golongan mufti, imam-imam dan ustaz-ustaz yang daripada kalangan yang 'bodoh'. Mengapa yang genius-genius tidak dihantar mendalami agama? Bukankah itu menjadi sumbangan yang besar kepada Islam? Mungkin masyarakat kita menjawab, biarlah tidak soleh mana pun, asalkan genius, hidup senang dan gaji mahal. Dunia memang sudah terbalik. Kita tanya kembali, boleh ke hidup senang tanpa agama? Nanti nak masuk kubur bawa apa? Kereta, harta atau agama?
Perancangan Yahudi Nasrani dilihat semakin mencapai matlamat iaitu menerapkan pemikiran sekular dan meterial dalam minda umat Islam. Agama dan dunia dipisahkan malahan agama dianggap tidak penting dan tidak perlu. Ahli agama dipinggirkan sebaliknya ahli dunia yang diagung-agungkan.
-tko-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan