Harakahdaily
KOTA BHARU, 10 Jun: Pemuda PAS akan menubuhkan Pusat Dialog Antara Agama dan Peradaban bagi mempergiatkan lagi dialog dengan masyarakat bukan Islam di negara ini bagi membolehkan semua pihak berkongsi dengan PAS ke arah Malaysia yang sejahtera, adil dan saksama.
Namun, ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi menegaskan ia tidak sama dengan Interfaith Council (IFC) yang dibantah oleh PAS dan banyak NGO Islam sebelum ini.
"IFC kita tolak kerana dia menyamakan semua agama..." kata Nasrudin dalam sidang media selepas memberikan ucaputama di Muktamar Dewan Pemuda PAS di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) hari ini.
Menurutnya, melalui pusat dialog ini, Pemuda akan cuba mempersiapkan anggota pemuda supaya mereka bersedia untuk berbincang dengan semua pihak sebelum PAS duduk di Putrajaya.
Pusat ini, katanya, akan turut menjalinkan hubungan dengan badan-badan di peringkat antarabangsa seperti The Centre for the Study of Terrorism yang diperolopori oleh Dr Kamal Halabawi.
Di samping itu, Nasrudin turut menggariskan 10 kriteria yang perlu dimiliki oleh Pemuda PAS.
Kriteria itu adalah aqidah yang sohih, pemikiran yang syumul, keperibadian yang soleh, hayati Amal Tarbawi, memimpin bertunjangkan politik Islam, menggerakkan aktiviti Dakwah Islamiah dengan berkesan, hikmah serta bestari, bekerja secara jamaei atau kolektif dan memuktamadkan keputusan berasaskan syura, membina wibawa dan karisma kepimpinan, menjadi agent perubah dan bertanggungjawab mengisi dan mengawal kemenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan