Manikavasagam berkata, beliau bersedia memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu penyelewengan perlombongan pasir yang didakwanya sebelum ini.
“Saya tidak tuduh siapa-siapa pun dalam isu ini, saya tidak tuduh Menteri Besar ke atau Exco ke atau sebarang orang pun, saya minta mereka untuk siasat bagi saya, saya melihat kita perlu bersihkan kalau ada rasuah, penyelewengan atau pun prosedur tidak betul ke, ini semua kita perlukan bersihkan jadi itu sebab penting bagi SELCAT untuk siasat semua ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata akan menyerahkan beberapa dokumen sebagai bahan bukti dan senarai saksi bagi mengukuhkan lagi dakwaan dan laporan polisnya pada 12 Mei lalu.
“Saya akan bagi semua dokumen untuk aduan rakyat, apa arahan, dokumen-dokumen saya terima, saya akan bagi.
“Itu bukti saksi, saya akan berikan senarai nama-nama yang dipanggil itu, saya akan serah pada panel SELCAT, saya akan serah esok semua nama-nama dan saksi, ada satu dua saksi yang mereka takut mungkin diancam nyawa mereka, mereka pun takut jadi mereka, tapi mungkin di ruang yang lain datang tampil ke hadapan tetapi tiga empat orang mungkin berani. Saya fikir satu dua masih lagi dalam ketakutan,” katanya.
Beliau berharap SELCAT dapat mengadilinya dengan telus sekali gus dapat menyelesaikan permasalahan ini.
Manikavasagam sebelum ini mendakwa berlaku kecurian pasir di Tanjung Karang di Selangor, Sengkil, Sepang dan kawasan berhampiran Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Glanmarie di Shah Alam, Kundang di Rawang dan Kuang di Gombak.
Beliau berkata sebanyak tiga hingga empat senarai nama saksi akan diberikan kepada SELCAT bagi menyiasat dakwaannya terhadap Kumpulan Semesta Sdn.Bhd. (KSSB) yang melibatkan beberapa pegawai.
-tvselangor-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan