Ustaz Hasan arkitek tak bertauliah

Subky Latif
ALMARHUM Dato Fadzil Noor selalu menyifatkan Ustaz Hassan Shukri sebagai akitek tak bertauliah. Dan Almarhum Ustaz Hassan Shukri menerimanya dengan senyum dan senang hati atas jolokan akitek tak bertauliah itu kerana ia satu penghormatan kepada kebolehnannya membina bangunan yang ada hubungan kegiatannya.

Mithalnya Surau Tarbiyah di Taman Melewar, Batu Caves Kuala Lumpur. Surau yang dibina kerajaan itu diberi nama Surau Tarbiyah dipercaya dia yang memberi namanya.

Nama Tarbiyah yang bermaksud pendidikan itu sangat dekat di hatinya. Apabila dia membina markaz PAS juga di Taman Melewar, lalu dinamakannya Martaz Tarbiyah PAS Pusat pula.

Semasa dia menjadi Setiausaha Agung PAS di bawah pimpinan Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor digalakkannya negeri dan kawasan PAS membina Markaz Tarbiyah masing sebagai pusat pentadbiran parti dan sekali gus menjadi musalla.

Surau Tarbiyah tadi dibina mengikut pelan disediakan kerajaan. Selama lebih 30 tahun dia jadi pengurusi surau itu macam-macam pindaan dan tambahan pada bangunan itu. Kebanyakan penyesuaian itu adalah mengikut reka ciptanya.

Ketika PAS di Wilayah Persekutuan dan PAS Pusat sukar untuk mendapatkan tempat untuk berbagai perhimpunan, Hassan Shukri, bekas Setiausasha Agung dan bekas Timbalan Presiden PAS yang meninggal tengah hari 14 Jun 2004 lalu telah membelikan satu lot tanah untuk PAS Terengganu di sempadan Selangor di Taman Melewar sebagai tapak rumah bagi pemimpin-pemimpin Terengganu yang selalu datang ke Kuala Lumpur.

Tetapi PAS Terengganu membiarkan saja tapak yang bersebelahan dengan rumah Ustaz itu. Saya selalu menganjurkan ceramah – kadang-kadang tiap-tiap minggu di rumah Ustaz Hassan. Dia tidak pernah menolak. Tetapi bila ceramah berakhir pukul 12 malam, isterinya terpaksa mengemas rumah hingga pukul 2 pagi.

Ia mengganggu anak-anaknya yang masih kecil hendak bersekolah esoknya. Lalu saya berpakat dengan PAS Taman Melewar untuk memanfaatkan tanah PAS Terengganu bagi mengadakan ceramah. Kami cadang untuk membinanya seperti kandang, memadai ada bumbung dan dinding ikut keadaan kerana ia tanah orang Terengganu. Ia boleh mengambil tapak itu bila ia rasa ia mahu bina rumah.

Bila Ustaz Hassan mendengar cadangan itu dia pun mencadangkan supaya dibina Markaz Tarbiyah. Pelan asal markaz itu digarisnya di atas tanah saja di depan tukang dari Indonesia dan pelajar-pelajar lulusan kejuruteraan yang tinggal di sekitar kawasan itu.

Dari garis di atas tanah itu mereka mendirikan rangka bangunan. Bila terdiri tiang, ada pula yang menghantar pasir, simen, besi, kayu dan lain-lian. Kami tidak banyak mengeluar modal. Ada orang datang untuk memberi belanja siling, ada yang menyumbangkan pintu dan tingkap.

Dari semasa ke semasa Uztaz Hassan mengarahkan pelajar dan tukang-tukang itu buat begitu dan begini.

Bila siap bangunan itu ada pula lot-lot sebelah dan di belakang bangunan hendak dijual. Ustaz Hassan beli dan sambung pula markaz itu di lot yang baru dibeli itu.

Sejak pertengahan tahun 1980an hingga tahun 2000 markaz itu bertambah besar dari semasa ke semasa kerana orang-orang di situ sedia pula menjual tanahnya pada Ustaz Hassan. Ustaz Hassan beli lot-lot itu untuk PAS.

Setiap kali lot baru dibeli, Ustaz Hassan membentang pelan tambahan baru bangunan. Ustaz Fadzil yang tidak pernah membantah cadangannya menyerahkan saja kepada budibicara akitek tak bertauliah itu.

Daripada sebuah bangunan dua tingkat asalnya, ia menjadi sebuah komplek yang ada dewan, bilik mesyuarat, pejabat pentadbiran, bilik solat bahkan ada pula tempat orang menumpang bermalam. Rombongan bas dari Kedah dan Kelantan selalu singgah bermalam di situ.

Semua reka bentuk komplek itu hasil ciptaan Ustaz Hassan sendiri.

Dia tidak pernah belajar ilmu pertukangan. Dia adalah seorang lulusan agama. Tetapi dia minat dengan mereka bentuk rumah atau bangunan menjadikan dia tahu teknik-teknik pertukangan.

Markaz Tarbiyah PAS itu adalah karya seninya.

Sejak terbinanya Markaz Tarbiyah itu PAS tidak sukar lagi mengadakan Mukktamar. Sebelumnya PAS menyewa di Dewan Bahasa untuk bermuktamar. Kadang-kadang muktamar terpaksa ditunda kerana kerajaan hendak menggunakan dewannya. Acap tempahan dibatalkan. Mungkin ia satu cara kerajaan membuli PAS.

Selepas markaz itu didirikan PAS bebas mengadakan berbagai kegiatan. Parti-parti yang bersekutu dengan PAS selalu memanfaatkannya.

Beberapa tahun lalu Pejabat Agung PAS berpindah ke Jalan Raja Laut di pusat bandar Kuala Lumpur. Markaz Tarbiyah tidak lagi jadi tempat pentadbiran. Ia digunakan untuk kegiatan lain.

Sekarang markaz itu sedang dirombak untuk dijadikan kampus bagi kolej universiti Prof. Zuklifli Mohamad. Struktur bangunan itu dikekalkan tetapi renovasinya banyak mengubah bentuk seni rekaan Ustaz Hassan Shukri itu.

Kata Ustaz Hassan pada saya kalau sebahagian dari peralatan lama dikekalkan, banyak perbelanjaan dapat diselamatkan. Kalau peruntukannya katakannya satu juta ssetengah, separuh daripadanya boleh diselamatkan untuk mentadbiran kolej itu nanti.

Akitek tak bertauliah itu memerhatikan saja pembinaan semula bangunan itu. Sebulan dua lagi mungkin dapat disiapkan. Tetapi dia tidak sempat menyaksikan bangunan itu disiapkan bagi fungsinya yang baru dan tidak dinamakan Markaz Tarbiyah lagi kerana secara mengejut dia dipanggil pulang ke Rahmatullah.

Tetapi dalam masa 25 tahun terakhir ini dia bolehlah dikira bapa pembinaan markaz tarbiyah, bukan saja bagi Markaz Tarbiyah PAS Pusat yang terseregam itu tetapi markaz tarbiyah tumbuh di merata tempat untuk memberi laluan kepada umat mengembangkan agama Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan