62% pengundi muda 'duduk atas pagar'

Alan Ting
KUALA LUMPUR, 25 Julai:
Seramai tujuh juta pengundi muda akan menjadi faktor penentu dalam keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) atau Parti Pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Bagaimanapun, kajian terbaru oleh Makmal Pemuda BN telah memberi wawasan tentang pemikiran golongan pengundi muda dengan kebanyakan mereka mengambil pendiriran 'non-partisan' (tidak memihak) berhubung politik negara.

Berikutan majoriti golongan belia bukan penyokong mana-mana parti, kajian itu mendapati tiga daripada lima pengundi muda atau 62 peratus daripada mereka masih 'duduk atas pagar' mengenai parti pilihan mereka.

Hasil kajian ke atas kira-kira 1,000 responden dari seluruh negara itu serta cadangan dasar telah disampaikan oleh Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas.

Kajian itu dijalankan oleh sekumpulan penyelidik khas selama dua bulan mulai Mac lalu itu adalah bagi membantu parti pemerintah menggubal dasar bersesuaian dengan keperluan generasi muda di negara ini.

Hasil laporan itu akan diumumkan kepada awam pada satu mesyuarat bersama Perdana Menteri dijadual pada 20 Ogos ini.

Kebimbangan utama yang disuarakan oleh responden adalah berkaitan dengan pekerjaan, pendidikan, peningkatan kos hidup dan pengangkutan awam.

"Golongan belia ini akan mengundi mana-mana calon yang mereka fikir adalah lebih baik pada pilihan raya umum akan datang," menurut hasil kajian itu.

Hasil kajian itu adalah serangkai dengan arah aliran politik semasa yang ditonjolkan oleh pelbagai pemerhati dan penganalisis politik termasuk pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah.

"Pengundi muda kini lebih berpandangan terbuka dan membina dan mereka tidak menilai sesuatu isu berdasarkan ideologi politik. Sokongan mereka mudah berubah atau bertindak kepada situasi pada bila-bila masa," kata Abu Hassan.

Menurutnya generasi muda tidak lagi berpegang kepada kata-kata atau janji ahli politik tetapi sebaliknya menilai bagaimana parti-parti berkenaan menangani pelbagai isu.

Baca selanjutnya bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan