Bapa nafi larikan anak untuk dijual

Selepas hampir dua minggu didakwa melarikan anak perempuannya untuk dijual bagi membayar hutangnya dengan ah long, seorang bapa hari ini tampil menafikan dakwaan isterinya itu.

Soo Kian Keong, 35, yang hadir bersama anak perempuannya itu, Nicole Soo Siew Qing, 3, di Biro Aduan Awam MCA di sini menjelaskan bahawa dia meninggalkan rumah dengan anaknya itu pada 26 Jun lalu setelah bertengkar dengan isterinya, Kristina, 34.

Soo, yang hanya mengetahui berita tentang dakwaan isterinya itu semalam, berkata dia tiada niat untuk menjual anaknya itu tetapi tertekan setelah bertengkar dengan isterinya itu yang juga seorang warga Indonesia.

Pemandu lori itu sebaliknya mendakwa Kristina mengalami masalah mental selepas melahirkan Nicole dan mereka sering bertengkar.

"Saya bukan nak jual anak saya sendiri sebab nak bayar hutang...memang saya ada hutang dengan ah long tapi hutang itu dah nak selesai," katanya kepada pemberita di Wisma MCA hari ini.

Kristina membuat laporan kepada biro itu setelah Soo dan Nicole tidak pulang ke rumah selepas membeli makanan.

Soo berkata beliau kini dalam proses penceraian dengan Kristina dan akan memohon hak penjagaan terhadap Nicole manakala anak bongsunya Soo Chean Keat, sembilan bulan, akan dijaga oleh isterinya.

Sementara itu Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata beliau cuba menyelesaikan masalah perkahwinan pasangan itu tetapi gagal.

"Saya cuba selesaikan masalah mereka supaya tidak cerai tapi mereka masih berdegil...sekarang ini suaminya nak minta Nicole di bawah jagaannya dan Chean Keat di bawah jagaan isterinya, tapi isterinya mahu kedua-dua anak," katanya.

Bagaimanapun, Kristina bersetuju untuk membenarkan suaminya membawa kedua-dua anaknya balik ke rumah suaminya pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

Kristina dan anak-anaknya akan menumpang di Rumah Kebajikan Ti-Ratana mulai minggu depan setelah gagal melunaskan bayaran sewa rumahnya.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan