Bermukah hingga dua anak

KULIM: Sepasang kekasih bukan saja hidup bersama seperti suami isteri, malah turut mempunyai dua cahaya mata hasil bersekedudukan lebih tiga tahun.

Pasangan bersekedudukan bukan kerana ketagih seks, tetapi hubungan cinta dihalang keluarga wanita.

Pasangan lelaki berusia 29 tahun tidak mahu dikenali berkata, mereka mahu berkahwin apabila teman wanitanya hamil, tetapi ditolak keluarga.

“Peminangan saya ditolak keluarga teman wanita walaupun ketika itu kami sudah terlanjur dan dia hamil,” katanya.

Katanya, walaupun tidak mendapat restu keluarga teman wanita, dia tetap mengambil keputusan untuk bersama kekasihnya itu kerana sayangkannya serta berasa bertanggungjawab.

“Saya sayangkan teman wanita dan anggap dia sebagai isteri. “Saya mempunyai dua anak bersama teman wanita iaitu berusia 20 bulan dan 30 hari, namun keluarga teman wanita saya masih berkeras tidak menerima saya,” katanya.

Pasangan itu pernah mohon bantuan Mahkamah Rendah Syariah di Perak untuk mendapatkan wali hakim bagi tujuan mengesahkan nikah.

“Ketika proses mendapatkan wali hakim bagi tujuan pernikahan, teman wanita melahirkan anak pertama menyebabkan proses ditunda dan mahkamah turut memanggil keluarga teman wanita untuk hadir ke mahkamah,” katanya.

Menurutnya, meskipun dipanggil mahkamah, keluarga teman wanitanya tetap berkeras serta tidak mahu bekerjasama.

Mahkamah terpaksa menunda tarikh sekali lagi pada Jun lalu namun ketika tarikh perbicaraan, teman wanitanya melahirkan seorang lagi anak menyebabkan perbicaraan ditunda sekali lagi.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Kedah (PADK) cawangan Kulim, Azmi Rejab berkata, mereka melakukan siasatan terhadap pasangan itu selepas mendapat aduan orang ramai.

Katanya, siasatan mendapati mereka bersekedudukan sehingga melahirkan dua anak selain mengesahkan pasangan itu mempunyai dokumen permohonan untuk bernikah dan mendapatkan wali hakim.

“Bagaimanapun kes ini tetap disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dan sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000,” katanya.

Menurutnya, PADK menasihatkan pasangan untuk tidak tinggal bersama sementara menunggu keputusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan