Bagaimanapun tertuduh ketiga Azuwan Shah Ahmad dibebaskan kerana tidak cukup bukti.
“Pasukan pendakwa raya telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama (Raja Muhammad Faizal (gambar) dan kedua (Raja Muhammad Idzham) ,” kata Hakim Mahkamah Sesyen S.M. Komathy Suppiah hari ini.
“Tiada bukti yang cukup untuk mengaitkan tertuduh ketiga (Azuwan),” kata beliau.
Hakim berkata keterangan saksi Mohd Razman Azmir Shaharaan dan Noor Shahli Nasrullah Baharuddin terhadap kedua-dua tertuduh disokong dengan bukti yang cukup meskipun tiada saksi yang boleh mengenal pasti pihak yang bertindak demikian.
“Saya mendapati keterangan Razman dan Shahli adalah kredibel dan berpadan dengan (saksi) Yong (Choy Yee) dan (ditambah dengan) bukti persekitaran,” kata Komathy.
Keterangan mereka telah mengaitkan tertuduh pertama dan kedua, katanya.
“Mereka mengatakan bahawa kedua-dua mereka hadir di gereja pada malam kejadian,” katanya.
Mahkamah menetapkan 9 dan 10 Ogos ini bagi pembelaan.
Pada Selasa lalu Mahkamah Sesyen diberitahu kebakaran gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati disebabkan perbuatan yang disengajakan dengan menggunakan petrol.
Ahli Kimia Shaari Desa, 43, berkata ini terbukti dengan kesan petrol diperoleh dari bekas plastik yang dijumpai di dalam gereja tersebut ketika membuat pemeriksaan pada 8 Jan lalu.
Dalam perbicaraan ini, Raja Mohamad Faizal, 24; adiknya Raja Mohamad Idzham, 22; dan Azuwan Shah, 23, didakwa bersama-sama beberapa orang yang masih bebas, melakukan khianat dengan membakar gereja itu di Jalan 4/4C, Desa Melawati pukul 11.50 malam, 7 Januari lepas.
Ketiga-tiga tertuduh yang bekerja sebagai penghantar surat didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan