Rumah pangsa: Adun nafi laporan akhbar

Mohd Ali Hashim
GEORGETOWN, 25 Julai:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak, Sim Tze Tsin menafikan dakwaan laporan sebuah akhbar bahasa Inggeris yang menyatakan bahawa beliau melarang pembinaan rumah pangsa kos rendah yang keluasannya kurang 700 kaki persegi di Pulau Pinang.

Menurut Sim lagi, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan ia memberi satu gambaran yang salah dan menyimpang.

Dalam laporan tersebut beliau didakwa menyatakan larangan tersebut adalah disebabkan oleh kebanyakan rumah pangsa berada dalam keadaan yang tidak memuaskan seperti kotor, tidak terurus dan mencacatkan pemandangan.

Beliau juga dilaporan mencadangkan supaya bayaran pampasan diberikan oleh pemaju kepada penduduk setinggan bagi membina rumah baru untuk mereka berdekatan dengan kawasan asal atau setinggan penduduk tersebut.

"Sebenarnya apa yang dicadangkan ialah pemaju membina rumah mampu milik dalam keadaan yang lebih selesa kepada rakyat yang majoritinya adalah diluar kemampuan 70 peratus penduduk Pulau Pinang.

"Sepatutnya rumah yang dibina oleh pemaju berukuran 600 hingga 700 kaki persegi dengan harga RM 40 ribu seunit. Rumah-rumah ini adalah popular kepada rakyat terutamanya golongan muda kerana ramai yang tidak mampu untuk memiliki di kawasan industri khususnya yang mencecah harga antara RM 600 ribu atau lebih, manakala bagi pangsapuri pula adalah melebihi RM350 ribu," katanya sebagai mengulas laporan akhbar tersebut.

Beliau yang juga merupakan anggota jawatankuasa Jabatan Perumahan Negeri Pulau Pinang menggesa pemaju supaya membina rumah mampu milik yang memberi banyak peluang kepada rakyat negeri ini memiliki rumah.

"Laporan yang tidak benar ini akan memberi satu gambaran yang salah. Oleh kerana itu penafian ini adalah untuk membetulkan laporan yang salah itu supaya mesej sebenar mengenai pembinaan rumah mampu milik adalah untuk kesejahteraan rakyat negeri ini di samping memberi peluang mereka memiliki rumah dengan harga yang mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah," tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan