Tiada elemen Melayu pada Hari Warisan Sedunia

Mohd Sabri Said
GELUGOR, 12 Julai:
Aktivis warisan merangkap Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Tanjung Tok Kong, Mohd Saleh Yahya (gambar) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang memasukkan warisan Melayu ke dalam Hari Warisan Sedunia yang dianugerahkan Pertubuhan Pendidikan Sains Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada sambutan 7 Julai setiap tahun.

Katanya, ia perlu kerana sepanjang program yang diatur pada 7 Julai lalu, tidak langsung meletakkan elemen kemelayuan dalam sambutan walhal Pulau Pinang dibuka oleh orang Melayu bukannya Francis Light sebagaimana yang ditulis dalam sejarah.

Tambahnya, orang Melayu yang datang dari Pagar Ruyung, Indonesia lebih dulu mendarat dan melaksanakan berbagai urusan keagamaan termasuk mendirikan surau, masjid serta menamakan beberapa kampung dengan nama mereka.

Ini, ujarnya seperti Nahoda Datuk Jannatun yang membuka Gelugor dengan mendapat keizinan daripada Sultan Kedah, Batu Uban dibuka oleh Nahoda Intan, Datuk Nahoda membuka kawasan yang merangkumi Tanjung Penaga (kawasan jeti -Well Keay) Padang Kota Lama sehinggalah ke Jelutong, Datuk Kerana dibuka oleh Datuk Nahoda Datuk Keramat.

"Kerajaan negeri harus meletakkan sama warisan Melayu dalam sambutan Hari Warisan yang disambut pada 7 Julai setiap tahun. Tidak hanya memfokuskan kepada sejarah bangunan dan fakta sejarah yang lebih kepada kedatangan Inggeris," ujarnya.

Sepatutnya, kata beliau nilai-nilai kemelayuan diserapkan ke dalam sambutan kerana jelas dengan fakta bahawa orang Melayu terlebih dahulu membuka Pulau Pinang yang dulunya diberikan nama Pulau Kesatu oleh Datuk Nahoda Ragam yang dianggap sebuah pulau terbesar yang pernah ditemui di Selat Melaka.

Beliau juga mendesak kerajaan negeri mengkaji semula kedudukan Georgetown sebagai pusat bandar yang baru dengan nama 'Bandaraya Tanjung' ataupun lain-lain nama yang sewajarnya.

Katanya, lakaran peta-peta terawal yang dibuat oleh Inggeris merakamkan 100 peratus nama-nama Melayu tidak kira sungai, batu, pesisiran pantai dan jalan yang mustahil mengatakan pulau ini tidak berpenghuni, seolah-olah Francis Light menamakan Pulau Pinang.

Tambahnya, sejarah Pulau Pinang tidak bermula dengan kedatangan Francis Light sebaliknya antara wilayah pentadbiran Kedah dan sepatutnya pengisytiharan warisan mestilah bermula dengan warisan Melayu dan Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Melaka Bandaraya Bersejarah.

"Kita menganggap pengisytiharan itu sebagai satu penghinaan pada warisan Melayu dan Islam yang seolah diketepikan dengan sengaja. Kami juga mahukan pengisytiharan dua tempat yang dikenal pasti sebagai tempat warisan Melayu di Batu Uban dan Kampung Melayu Tanjung Tok Kong," tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan