Tolak Kerjasama Umno, PAS Dapat Pujian NGO Islam & DAP

Ketegasan pimpinan PAS menolak pelawaan politik Umno yang memperalat isu perpaduan Melayu mahupun perpaduan dan kesucian Islam, disambut baik badan bukan kerajaan (NGO) berteras Islam mahupun pemimpin bukan Melayu.

Abdul Ghani Shamsuddin, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang memuji pimpinan PAS yang tidak bertolak ansur dengan parti pemerintah.

Kebelakangan ini, ketika angin pilihan raya umum ke-13 mula bertiup, pelbagai usaha bagi menjalin kerjasama Umno dengan Pas dihidupkan semula biarpun isu ini sudah lama berakhir.

Selepas Barisan Nasional gagal mengembalikan sokongan bukan Melayu sejak pilihan raya umum lalu, Umno cuba memancing PAS bagi memastikan undi Melayu tidak berpindah tangan.

Kagum dengan penyataan pimpinan PAS, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Perdana Menteri Satu Malaysia itu cuba menakut-nakutkan orang Melayu-Islam supaya mendorong kepada kerjasama politik.

"Saya rasa pendirian yang diambil oleh pemimpin PAS adalah waras dan munasabah. Tapi yang penting kenapa sekarang, ada usaha mahu menakutkan orang Melayu bahawa mereka akan hilang kuasa.

"Walhal, ini tidak berasas. Semacam ada satu kempen yang hendak menakutkan orang Melayu," kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu kepada TV Selangor, hari ini.

Lebih-lebih lagi, Datuk Seri Najib Razak dilihat gagal meraih sokongan bukan Melayu, menyebabkan Umno terpaksa kembali bergantung kepada undi Melayu.

Kini, Umno BN terpaksa mengkhianati semangat satu Malaysia semata-mata mahu merebut sokongan pengundi Melayu yang dilihat lebih memihak kepada PAS.

"Kenyataan yang selalu diulang pemimpian Umno dan ejen mereka mencadangkan bahawa harus ada perpaduan orang Melayu. Ini menimbulkan persoalan, di mana letaknya 1Malaysia yang dilaungkan Najib?

Kalau 1malaysia bertujuan untuk menyatukan rakyat Malaysia. Nampaknya, ini tidak selaras dengan 1Malaysia," katanya dan menambah pelakuan pimpinan Umno BN semata-mata agenda politik.


Abdul Ghani Shamsuddin, Pengerusi SHURA menganggap percantuman Umno-Pas tidak akan berlaku kerana parti pemerintah itu banyak melakukan khianat kepada orang Melayu mahupun kesucian Islam.

"Dalam konteks politik Pas sudah punya pakatannya sendiri untuk menentang kemungkaran dan kezaliman Barisan Nasional serta segala salah laku, pengkhianatan terhadap hak orang Islam dan Melayu. Rasuah, korupsi dan sebagainya.

"Ini sudah pasti dalam konteks demokrasi tidak dapat dicantumkan bagaimana pembangkang dapat disamakan dengan orang yang melakukan kezaliman. Yang berkuasa setiap hari menyingkirkan mereka dan menindas mereka (PAS)?" katanya.

Beliau percaya PAS tidak akan berkompromi dengan Umno sekali parti berlambang keris itu terus-terusan bergelumang dengan dosa tanpa rasa insaf.

Selama ini, dosa penindasan Umno terhadap PAS terlalu pedih untuk ditelan pimpinan dan penyokong parti berkenaan.

Umno sedari dahulu menzalimi PAS, dari Tragedi Memali dan kini dilabel pula parti sesat.

"Bagaimana kita boleh bersetuju dengan orang yang melakukan kejahatan? Melainkan dia bertaubat dan menyatakan dia tak mahu lagi dan buktikan tidak lakukan kejahatan, barulah kita boleh bersetuju," kata Ghani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan