Tragedi Memali : ‘Tidak kami sangka polis sanggup membunuh’ (2)

AnakSungaiDerhaka
Sambungan wawancara penulis dengan Senator Yusof Husin, seorang bekas tahanan ISA yang terlibat dengan peristiwa Memali di Baling. Bahagian (1) sila baca di SINI
Latarbelakang
Usaha untuk menangkap Ibrahim Libya dilakukan bermula dari Sept 2, 1985 sehingga beliau berjaya diberkas.

Sambungan dari Bahagian 1

Yusof: Dan 3-4 orang berpatah balik masuk ke kawasan rumah.

Apabila Ustaz Ibrahim terbunuh, keadaan menjadi semakin tegang.

Suasana gas pemedih mata yang dahsyat, anak ustaz Ibrahim Nurul Syuhada yang berumur tidak sampai setahun pengsan dibawa keluar oleh ahli keluarganya. Mereka melalui jalan kampung. Mendapat simpati pasukan polis yang berkawal di belakang yang memberi laluan supaya anak bongsu ustaz Ibrahim ini dibawa.

Ringkas ceritanya, pada ketika itu ada pengumuman pihak polis meminta ustaz Ibrahim Libya menyerah diri dengan menyebut diri beberapa orang lagi iaitu Ahmad Hassan dan saya sendiri supaya menyerah diri.

Ustaz Ibrahim tetap tegas bahawa dia tidak akan menyerah diri.

Hampir jam 12 malam setiap sudut dari depan belakang, rusuk kiri kanan, pasukan polis yang diketuai oleh UTK [Unit Tindakan Khas] yang memikirkan pada ketika itu kami semua sudah tidak bermaya kerana berada di dalam kawasan dipenuhi gas yang lebih dari tiga jam.

Banyak yang memberi kesan terutama kanak-kanak yang pengsan, golongan wanita yang lebih kurang 20 orang lebih termasuk anak isteri ustaz Ibrahim Libya.

Dan pada ketika itu sebahagian daripada kami yang berada di situ melaungkan takbir.

Senjata yang kami ada pada ketika itu semuanya senjata tradisional iaitu seperti parang panjang, pedang, buluh runcing; senjata tradisional, senjata kampung.

Selepas Cikgu Shafie ini ditembak oleh anggota polis maka di dalam kebetulan salah seorang ahli kumpulan kami mempunyai senapang patah kepunyaan Rela, senjata kepunyaan kerajaan ahli Rela. Dengan senapang itulah menembak balas anggota polis dan tidak pasti sama ada mengena atau pun tidak anggota polis.

Selepas itu berlakulah serangan.

Ada 14 orang terbunuh termasuk tertembak di dadanya dan empat orang polis terbunuh. Itupun saya tahu kemudian harinya.

Saya tidak cedera. Cuma cedera kecil sahaja. Saya terus dibawa ke balai polis.

Pergelutan itu berlaku apabila ada di antara orang kampung yang keluar ke hadapan. Ada di antara anggota polis sudah masuk ke kawasan. Saya tidak pasti empat orang anggota polis itu terkena dengan parang atau pun peluru buta dari peluru rakan senjata mereka.

Jadi, apabila serangan itu berlaku, keadaan menjadi kelam-kabut dan mereka dengan banyaknya masuk.

Sebahagiannya dibawa ke UKK [Unit Kecemasan dan Kemalangan], mereka dibawa ke situ dan kemudiannya baru diagihkan ke balai polis di seluruh negeri Kedah. Saya terus dibawa ke Alor Setar tetapi saya dibawa berasingan dan tidak dibenarkan bersama yang lain. Di tempat tahanan pun tidak dibenarkan bersama yang lain.

Ramai ditangkap dan ada yang lain-lain pun ditahan; termasuk ibu, bapa dia, anak dia, isterinya – semuanya tak silap saya seramai 160 yang ditahan ke banyak balai polis. Akhirnya semuanya dibebas kecuali 36 orang ditahan di Kamunting di bawah ISA, termasuklah saya.

Apabila saya dibebaskan, kami bersama peguam-peguam cuba membawa kembali kes ini. Cuma dapat dibawa balik kes balu di mana suami-suami mereka dibunuh; seramai 14 bawa balik. Yang itu boleh, yang itu jalan.

Perbicaraan demi perbicaraan berlaku. Pihak kami dan pihak kerajaan menghadapi masalah sebab kebanyakan saksi-saksi sudah meninggal dunia.

Kes ini diselesaikan di pihak mahkamah di mana kerajaan Malaysia membayar pampasan RM20,000 seorang kepada waris 14 orang yang dibunuh di dalam peristiwa ini, [Akan tetapi] lain-lain kes tahanan itu luput begitu sahaja.

Semasa saya dalam tahanan, banyak pegawai polis pun menyebut bahawa peristiwa ini tidak sepatutnya berlaku. Kalau dilihat ucapan saya di dalam Hansard parlimen, saya berucap panjang di mana kerajaan tidak sepatutnya membunuh ulama terkenal. Kita nak wujudkan seorang ulama dan dibunuh begitu sahaja hanya kerana melaksanakan ISA.

Situasi di mana orang kampung sendiri memberhentikan OCPD Baling, Tunku Muzaffar dan dua orang lagi pegawai polis yang sedang dalam perjalanan pada Okt 22 adalah di antara titik permulaan kepada ketegangan. Namun ramai yang mengepung OCPD, mereka dapat ditenangkan sehingga Tunku Muzaffar dibebaskan.

Pada Nov 19 sewaktu berlaku kepungan dan tindakan polis, seramai lebih kurang 160 orang kampung berkumpul di kawasan rumah Ibrahim Libya.

Polis melepaskan tembakan apabila tiga empat orang pengikut Ibrahim Libya meluru keluar dari tempat persembunyian mereka.

Sebenarnya perkara ini boleh dielakkan sekiranya ada cara yang kena.

Jadi, mereka itu tetap berkeras untuk melaksanakan serangan itu, maka terjadilah, peristiwa itu pun berlaku.



Kalau diikutkan sejarah yang ditulis menimbulkan mahasiswa, petani turun ramai [di Baling] …apakah isu? Adakah faktor inflasi yang teruk sehingga kaum mahasiswa dan petani tidak berpuas hati selain cara-cara pidato Ibrahim Libya.

Demonstrasi berlaku pada tahun 1974 yang menyebabkan Anwar Ibrahim ditahan. Pada ketika itu, ustaz Ibrahim Libya masih menjawat jawatan….

Peristiwa Memali berlaku tahun 1985. Maknanya 11 tahun daripada tarikh itu. Keadaan kehidupan pada ketika berlaku peristiwa Memali agak berbeza walaupun ada tahap hidup ramai orang kampung di mana ramai anak-anak orang kampung yang bekerja di luar yang memberi sokongan kepada keluarga mereka.

Keadaan tidak seperti tahun 1974 tetapi sokongan yang diberikan kerana keikhlasan yang ditunjukkan oleh ustaz Ibrahim Libya dan ketegasannya menentang ISA.

Dan dia telah mengotakan apa yang disebut.

Maknanya, tidak ada sebarang rundingan?

Secara serius dengan saya sendiri tidak ada rundingan. Cuma secara tidak langsung dengan pihak polis yang melalui seorang dua yang saya sendiri tidak mengingati nama mereka…

Tidak serah diri. Itu merupakan arahan. Mesti ada alternatifnya. Mesti ada mekanisme yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak tetapi apa yang ada supaya dia menyerah diri di bawah ISA.

Dan itu menjadi satu benda yang menjadi tentangan dia dan dia menekankan termasuk kepada Allahyarham ustaz Fadzil Nor, Presiden PAS pada ketika itu bahawa dia hendak melawan ISA jiwa raga supaya ia merupakan sejarah dalam negara supaya orang boleh melihat bagaimana kerajaan Umno dan Barisan Nasional sanggup membunuh bangsa sendiri kerana melaksanakan ISA.

Sumber artikel sila lihat di
SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan