Jurucakap kepada 40 ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid - yang sering mengulangi dakwaan ditipu 'menyertai' Umno - hendaklah tampil menjelaskan perkara itu supaya masyarakat dapat menilainya.
"Buat masa ini kami tidak mahu layan dia (Hosni). Amat tidak cerdik untuk melayannya. Kalau dia dakwa ditipu? Siapa tipu dia?
"Biar dia jelaskan siapa yang bawanya datang (ke majlis itu)? Saya minta dia dedahkan dua perkara ini sahaja dalam siri ceramahnya," kata Fathul ketika ditanya langkahnya bagi menangani dakwaan berterusan Hosni terhadap kumpulan mereka.
Tiga lagi rakannya turut didakwa berkongsi nasib yang sama.
Selain mereka, laman web PAS Harakahdaily juga melaporkan seorang lagi ulama daripada Perlis Abdul Wahab Abdullah juga mendakwa ditipu menyertai Umno.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Fathul sekali lagi mengulangi penafiannya bahawa Hosni, tiga rakannya dan Abdul Wahab tidak termasuk dalam senarai kumpulan ulama muda yang menyertai Umno.
"Mereka tidak ada dalam senarai kami," kata Fathul yang juga anak bekas mufti Perlis Mat Jahaya Hussin.
Sementara itu, ketua kumpulan 40 ulama itu Fadlan Mohd Osman pula berkata pihaknya tidak pernah menerima borang permohonan menjadi ahli Umno daripada kesemua nama yang dilaporkan membuat penafian itu.
"Kami memang tak ada panggil dia. Kalau dia kata dia ditipu, bukan kami yang menipunya," kata Fadlan yang juga pensyarah pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan