Umno Perlu Juga Bersetuju Menemui PKR

Mohd Sayuti Omar

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Muhyiddin Yassin mengatakan Umno sediauntuk bertemu dengan Pas bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini. Katanya walaupun usaha itu sering kali menemui kegagalan ia tidak pernah mematahkan semangat Umno. Baguslah kalau begitu.

Kenyataan Muhyiddin itu pasti akan menjadi kontroversi dan modal politik bagi ahli politik yang mudah miang mulut bila diajukan perkara itu. Dan kenyataan yang sama akan dikeluarkan oleh media massa sekejap lagi yang mengulas kenyataan Muhyiddin itu. Portal berita yang tidak senang dengan penyatuan Melayu akan melagakan pemimpin Melayu.

Kenyataan berbau kebecian kepada Umno akan terhembur di mana-mana secara kesat dan kasar. Pasti akan ada yang mengulas kenyataan Muhyiddin itu sebagai menggambarkan Umno sudah terdesak.

Muhyiddin akan disindar dan disinis semahunya.

Juga akan ada pemimpin Pas mengulas kenyataan itu serta mengulangi tuntutan Pas agar Umno mengubah perlembagaanya sebelum bekerjasama dengan Pas. Selamanya kenyataan sebegitu akan diprejudiskan oleh Pas. Di Kota Bharu sana akan terkeluar kenyataan yang kliese mengenai perkara itu. Paling lama Jumaat akan datang.

Tidak mengapa Pas berhak untuk berkata demikian berpandukan kepada sejarah dan kepercayaan. Tetapi apa yang saya hendak pertikaikan kenyataan Muhyiddin itu kenapakah Umno hanya bersedia untuk menemui Pas sahaja. Kenapa Umno tidak terbuka fikiran untuk menemui sama dengan PKR? Sesekali cubalah Umno menghulurkan salam persaudara dengan PKR? Dalam PKR rasanya ada orang yang akan menyambut salam Umno sebab ada yang faham erti assalamualaikum?

Saya rasa satu kejutan kalau tiba-tiba Umno menyatakan kesediaan untuk berjumpa dengan PKR dan berbincang dengan Anwar Ibrahim. Perjumpaan tiga buah parti Melayu ini akan membuka era baru dan membawa semangat baru kepada orang Melayu. Ia tentu merujakan banyak pihak.

Kalau Muhyiddin atau Umno ikhlas dan benar untuk menyatukan orang Melayu, Muhyiddin tidak boleh abaikan PKR. Mengajak Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak boleh meninggalkan Anwar Ibrahim. Hampir separuh dalam PKR adalah orang Melayu. Rasanya lebih mudah mengajak orang PKR bersatu berbanding dengan Pas kerana sebahagian besarnya mereka adalah darah daging Umno.

Pada saya selagi penyatuan dan kerjasama tidak membabitkan PKR harapan untuk melihat Melayu bersatu dan kerjasama sia-sia sahaja. Pas yang kini sudah berikat atas dasar politik (Pakatan) tidak akan bersetuju. Dan sekiranya Umno sedia jumpa sama dengan PKR rakan Pas dan PKR, DAP tidak perlu merasa cemas dan cemburu. Mereka berhak berjumpa atas nama bangsa Melayu. DAP juga perlu menghormati pertemuan itu kerana mereka adalah sebangsa dan seagama!

Seharusnya persepakatan politik untuk mendapatkan kuasa tidak menjadi penghalang untuk mana-mana bangsa dan kaum berjumpa sesama mereka memikir mengenai nasib dan masa depan masing-masing. Begitu juga kalau DAP hendak berjumpa dengan parti-parti lain yang sekaum dengannya Pas dan PKR tidak perlu merasa gusar.

Kalau benar kita sedia menerokai politik baru, pro dan liberal pembahruan ini perlu dikemukakan. Selagi kita saling curigai mencuriagai antara satu sama lain maka selama itulah rintisan kepada politik yang profesional tidak akan bermula di negara ini dan selamanya kita akan bercakaran seperti yang berlaku kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan