Kencing atas sejadah

SEKUMPULAN pejuang hak asasi kebebasan beragama mengadakan perhimpunan aman menyokong kebebasan beragama di sebuah masjid di Queens, Jumaat lalu.
SEKUMPULAN pejuang hak asasi kebebasan beragama mengadakan perhimpunan aman menyokong kebebasan beragama di sebuah masjid di Queens, Jumaat lalu.
NEW YORK: Seorang lelaki membuang air kecil di atas sejadah di sebuah masjid di Queens, kelmarin dalam kejadian terbaru yang ditakrifkan sebagai insiden anti-Islam selepas seorang pemandu teksi cedera di badan kerana ditikam penumpangnya.
Dalam kejadian dilaporkan di masjid Iman di Steinway Street, Astoria, lelaki dikenali sebagai Omar Rivera itu menyerbu masuk ke dalam rumah ibadat itu ketika jemaah sedang melakukan solat Tarawih.

Rivera kemudian mengeluarkan kata-kata menghina Islam dan memberi isyarat lucah kepada jemaah termasuk menggelar mereka sebagai pengganas.

Dua jemaah kemudian bertindak sebelum berjaya menghalangnya dan meminta bantuan pihak berkuasa dengan menelefon 911.

Seorang saksi memberitahu akhbar New York Post, lelaki terbabit berada dalam keadaan mabuk dan membawa botol bir ke dalam masjid itu.

“Dia memberi isyarat lucah dan memaki hamun semua orang yang ada dalam masjid,” katanya.
Seorang jemaah, Mustapha Sadouki, memberitahu: “Dia gelar kami pengganas sedangkan dia yang masuk ke dalam masjid dan melakukan perbuatan itu”.

Rivera dikenakan dakwaan jenayah menceroboh. Ejen Biro Siasatan Persekutuan, Richard Kolko, pula menyatakan pihaknya tidak mengesan peningkatan jenayah kebencian agama terhadap orang Islam tahun ini, bagaimanapun tetap memandang serius semua aduan yang diterima.

Pengarah Hal Ehwal Masyarakat bagi Majlis Hubungan Amerika Islam (CAIR) cawangan New York, Faiza Ali, menyifatkan perbuatan menghina Islam dan pengikutnya di corong radio termasuk oleh ahli politik menjadi punca peningkatan sentimen anti-Islam di seluruh negara itu.

“Beberapa kejadian baru-baru ini menunjukkan kesan daripada perbuatan menimbulkan ketakutan di kalangan orang awam,” katanya, ketika isu pembinaan masjid dekat lokasi 9/11 hangat diperkatakan.

Selain serangan terhadap pemandu teksi itu, Ahmed Sharif, pada hari yang sama sebuah masjid di daerah Madera, California, digeledah dengan satu mesej ditulis berbunyi ‘Wake up America, the enemy is here’ (Bangunlah Amerika, musuh sudah ada di sini).

Ia dipercayai perbuatan kumpulan ‘American Nationalist Brotherhood’. Malah, seketul batu bata juga dibaling terhadap masjid itu, minggu lalu.
Agensi-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan