Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata beliau tidak akan memohon maaf kepada DJ popular stesen radio bahasa Cina 988, Jamaluddin Ibrahim berhubung kenyataannya yang dikaitkan dengan isu perkauman, baru-baru ini.
Chua, yang berada di Sungai Petani bagi merasmikan seminar ahli jawatankuasa keselamatan dan pembangunan kampung menjelaskan kenyataan yang dibuatnya berbentuk umum dan semua pihak menyedari bahawa Ramadan adalah bukan yang suci untuk orang Islam.
“Apabila Jamaluddin mula bercakap, saya juga mengingatkannya (supaya tidak membuat kenyataan seumpama itu ketika Ramadan),” kata Chua kepada pemberita hari ini.
“Saya cuma ingatkannya, tiada yang keterlaluan. Saya berharap dia (Jamaluddin) tidak akan salah guna apa yang difikirkannya sebagai salah guna (kenyataan perkauman) untuk kepentingan dirinya.”
Jamaluddin menuntut Chua memohon maaf dan memberikan penjelasan, selepas dia diingatkan oleh presiden MCA itu supaya lebih bertanggungjawab sebagai seorang Islam berhubung isu itu.
Dia juga mempersoalkan motif Chua yang mengheret agamanya ke dalam kontroversi berkenaan.
Jamaluddin diarahkan supaya bercuti selepas pengurusan stesen radio itu menerima sepucuk surat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang mendakwa DJ itu dan program Hi Malaysia 'mengancam keselamatan nasional' dan 'menggugat perhubungan antara kaum' di negara ini.
Chua berkata belaiu tetap dengan pendiriannya bahawa MCA mengamalkan dasar 'tidak campurtangan' terhadap pengurusan akhbar harian Star dan anak syarikatnya, stesen radio 988 yang dimiliki parti itu.
Katanya, Star adalah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan oleh itu ia bertanggungjawab kepada pemegang sahamnya. Akhbar itu berkembang, menurut Chua adalah kerana dasar tidakcampur tangannya.
“Saya juga tidak tahu berapa banyak wang yang dibuat oleh Star. Kita tidak kacau, terutama saya, (saya) tak pernah terlibat. Kita tidak sentuh 988, dan saya tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.
“Apa yang saya tahu syarikat itu (stesen radio 988) menghadapi masalah dengan SKMM. Dan mereka yang berurusan dengan SKMM adalah pengurusan the star dan bukannya MCA.”
Chua juga pada Jumaat lalu menjelaskan beliau hanya berjumpa Jamaluddin sekali sahaja selepas dia dilantik sebagai presiden MCA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan