DAP umum habuan jika Pakatan kuasai Putrajaya

DAP hari ini mengumumkan bahawa parti itu akan memberikan beberapa habuan sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan yang baru pada pilihan raya umum akan datang.

Pada sidang media yang pasti menimbulkan kontroversi, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata mereka akan membuat bayaran RM1,000 dalam bentuk tunai kepada semua warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

Katanya, jika menguasai Putrajaya, kerajaan Pakatan Rakyat juga akan menghapuskan amalan saman ekor yang menyenarai-hitamkan pemilik kenderaan daripada memperbaharui cukai jalan mereka.

"Kami juga akan membekalkan wifi percuma di seluruh Malaysia,” kata Lim yang juga adalah Ketua Menteri Pulau Pinang.

K

atanya, Pakatan menjangkakan keputusan itu akan menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat terpaksa membelanjakan RM2.1 juta setiap tahun tetapi ia bagi membuktikan “penghargaan dan pengiktirafan sumbangan warga emas kepada negara”.

Ditanya, bagaimana Pakatan akan mendapatkan wang itu, Lim berkata jumlah itu kecil jika dibandingkan dengan wang negara yang hilang akibat rasuah.

“Diramalkan Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya RM28 bilion akibat rasuah setiap tahun. Kita bukan bercakap mengenai kemampuan menghapuskan rasuah sepenuhnya tetapi cuba mengurangkan sebahagian daripadanya,” katanya pada sidang akbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat DAP di Kuala Lumpur.

Lim menolak persepsi tindakannya itu sebagai percubaan membeli undi.

“Sekarang ini bukan pilihan raya, macam mana nak beli undi? Lagipun tak salah beri wang kepada rakyat,” katanya.

Beliau
juga menafikan tindakan itu bersifat 'populist' kerana ia juga sudah dilaksanakan di kebanyakan negara, seperti Thailand, katanya sambil menunjukkan majalah mingguan perniagaan The Economist.

“Kita juga tidak mahu fokus terlalu banyak terhadap kesilapan Barisan Nasional, tetapi kita mahu ketengahkan apa yang mampu kita tawarkan,” kata Lim.

Menurut beliau lagi, persetujuan juga sudah didapatkan dari parti Pakatan yang lain seperti PKR dan PAS berhubung tindakan berkenaan dan mereka tudak mempunyai sebarang bantahan.

“Saya bercakap kepadanya (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan beliau berkata OK lah,” kata Lim.

“Kita mahu membuktikan bahawa DAP bukan anti-Melayu ataupun anti-Islam atau juga bukan sebuah parti komunis. Kita tidak mempunyai sebarang hubungan dengan parti komunis di dunia, tidak seperti Umno yang baru menadatangani perjanjian dengan parti komunis China,” katanya.

Umno baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman dengan Parti Komunis China bagi pertukaran pemimpin belia agar “kedua-dua negara lebih memahami pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia dan China”.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan