"Mereka (peneroka) sudah lama sedar (berlaku penipuan). Tetapi mereka tak ada punca hendak bawa kes. Ada yang sudah buat laporan polis sejak 10 tahun lepas lagi," kata Suhaimi.
"Tetapi waktu itu mereka tak tahu siapa boleh bantu. Lepas ini, banyak lagi akan tampil menyaman Felda. Di Pahang saja kita jangkakan sekurang-kurangnya 4,000 peneroka akan terlibat.
Dalam tuntutanya itu, mereka mendakwa "wujud penipuan dan/atau konspirasi untuk melakukan penipuan dalam urusan jual beli dan hasil buah sawit" selama 15 tahun.
Menurut peguam Sivarasa Rasiah, pembayaran kadar perahan gred kelapa sawit Felda didakwa menggunapakai 18.9 peratus sedangkan nilai sebenar didakwa antara 24 hingga 25 peratus.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman - yang menyelaraskan saman itu bersama biro Felda PKR - berkata saman tersebut dijangka difailkan bulan depan, selepas sambutan hari raya Aidilfitri.
Timbang tuntutan tambahan
"Sekarang ini kita juga kumpulkan dokumen tambahan, untut tuntutan tambahan, antaranya melibatkan biji kernel (sawit) dan yang berkaitan dengan operasi kilang sawit," katanya yang akan menjadikan kerugian perahan sebagai tuntutan utama.
Jika menjadi kenyataan, saman peneroka Felda itu akan menjadi antara jumlah tuntutan terbesar di Malaysia dengan nilai sekurang-kurang setengah bilion ringgit.
"Mereka terimalah padahnya hasil daripada kesedaran peneroka," katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Suhaimi yang juga seorang peguam turut menafikan tindakan saman mereka bermotifkan politik, seperti didakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan semalam.
"Isu perahan ini mana ada (permainan) politik. Mana ada orang setuju dengan harga rendah. Mereka tidak dapat tentukan harga. Felda yang tentukannya," kata Suhaimi.
Beliau juga mendakwa, Jawatankuasa Persepakatan Bersama (JCC) Felda tidak dapat mendengar suara peneroka kerana kebanyakannya dianggotai ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) daripada Umno.
Harga sawit itu pula, katanya, dipersetujui di peringkat JCC yang dianggotai oleh ketua peneroka setiap tanah rancangan, pengurus kilang dan pengurus rancangan bagi menyelesaikan segala isu berkaitan harga sawit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan