Kes Tharmendran: Polis tentera nafi guna kekerasan

Polis Tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah menggunakan sebarang kekerasan atau menimbulkan gangguan terhadap keluarga Sarjan Udara N Tharmendran, yang dituduh bersubahat dalam kes mencuri dua enjin pesawat F5.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata usaha mencari Tharmendran di rumah keluarganya di Seremban pada 16 Julai lalu merupakan prosedur biasa yang dilakukan terhadap pegawai yang Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC).

Pasukan yang ditugaskan mencari Tharmendran tidak pun berjumpa beliau, malah bapanya pula menyangkal bahawa anaknya masih berkhidmat dengan TUDM.

Berikutan itu, pegawai yang ditugaskan mencari Tharmendran, Sarjan Japar Salleh, disoal oleh peguam N.Surendran yang mewakili Tharmendran dan mengingatkan Japar supaya tidak mengganggu anak guamnya itu.

Japar kemudiannya membuat laporan polis mengenai tujuan sebenar beliau mencari Tharmendran, menurut kenyataan itu lagi.

Pada 6 Jan lalu, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di Kuala Lumpur pada 30 April 2008.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan