Kian reda isu perpaduan Umno-PAS

Abd Shukur Harun
Kini redalah kedengaran, buat sementara, suara desakan, pujukan, seruan malah lambaian supaya PAS menyambut usaha menemukannya dengan Umno atas nama pelbagai jenama – kerjasama, pertemuan, muzakarah dan pelbagai nama lagi. Semuanya untuk maksud apa yang dipanggil ‘perpaduan Melayu’.

Kalau Melayu tidak bersatu, kata golongan yang mendesak ini, konon terancamlah ‘kuasa orang Melayu’ terutama dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Namun pemimpin dan penceramah evergreen PAS, Haji Mohamad Sabu mempunyai istilah sendiri untuk menjawab perepsi ini dengan berkata: “andaian Umno kalah, Melayu kalah, adalah tahyul gila Umno.”

Pandangan serupa itu, katanya ketika berucap di Permatang Pauh, adalah tafsiran mengarut.

Bagaimanapun kini golongan yang mendesak sudah kelihatan lesu nampaknya, oleh itu kuranglah suara-suara yang menyeru supaya PAS bertemu dengan Umno.

Ini adalah kesan dari sikap tegas pemimpin PAS – dari Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, membawalah kepada presiden dan pemimpin peringkat AJK Pusat, negeri, malah pimpinan kawasan dan cawangan juga.

Tetapi seruan dan desakan seumpama ini jangan disangka akan berhenti terus, kerana mungkin tidak lama lagi, atau suatu masa tertentu, terutama menjelang PRU ke-13 nanti, seruan dan desakan supaya Umno-PAS bersatu akan muncul semula. Mungkin diteriakkan oleh golongan yang sama, tetapi dengan cara dan pendekatan berbeza. Mungkin lebih keras, atau dengan pujuk rayu dari lidah tidak bertulang.

Oleh itu, pendukung PAS semua peringkat, malah kalangan ahli parti dalam Pakatan Rakyat sendiri, hendaklah waspada, memperkukuh pertahanan jiwa, keinginan, mengatur strategi dan bersedia menghadapi cabaran musuh politiknya.

Sepanjang menghadapi desakan, seruan dan pujuk rayu yang dihadapkan kepada PAS di masa lalu telah dapat ditolak dengan sebulat kata oleh pemimpin PAS. Ertinya PAS tetap memelihara semangat setia kawan dalam Pakatan Rakyat dan tidak mudah dilemahkan oleh desakan dan pujuk rayu.

Di masa akan datang musuh politik Pakatan Rakyat sudah pasti akan mengatur strategi baru, ataupun mengubah strategi lamanya untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Selama ini serangan demi serangan, dengan pelbagai cara, dihadapkan bukan saja terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, malah Pulau Pinang dan Kedah. Sementara di Kelantan, kata seorang tokoh PAS di sana, “Umno mati akal di Kelantan. Mereka serba tak kena.”

“Kita bukan takbur, tetapi kita bersyukur ke hadzrat Allah kerana memberikan PAS pengalaman getir yang membuatkan PAS mampu dan sentiasa memperkukuh ketahanan diri dan mampu bertahan,” kata tokoh PAS negeri itu ketika ditemui di Muktamar Tahunan PAS di Putik, Kota Bharu, Jun lalu.

Minggu lalu, saya berada di Alor Star selama dua hari menghadiri ‘Seminar Buya Hamka’ di Kolej Universiti Insaniah di sana dan meninjau sebentar suasana politik di sana.

Seorang rakyat biasa yang saya temui di Pekan Rabu ketika bersama sarapan di sana menyatakan dengan sangat menarik: “Alhamdulillah, Kedah dapat seorang ulama bernama Ustaz Azizan Abdul Razak. Dia orang bijaksana, warak dan mampu mentadbir. Kalau dibandingkan dengan kerajaan BN yang lalu dengan kerajaan yang ada sekarang di Kedah, macam bumi dengan langit.”

Katanya, MB Kedah dari PAS itu banyak memberikan kuliah agama di sana sini, macam Tuan Guru Nik Abd Aziz juga. Dia bukan saja selalu pulang ke kampungnya di Sungai Limau, tetapi melawat merata tempat walaupun kita tahu kesihatannya selalu terganggu.

Saya bertemu dengan Exco Kedah, Haji Taulan Rasul di seminar tersebut di mana beliau memberitahu saya, “Alhamdulillah, dengan izin Allah, Kedah boleh bertahan, walaupun menghadapi satu demi satu serangan hebat dari musuh politik PAS. Doakanah ….”

Kedah mempunyai pasukan Exconya yang padu dan profesional – Ir. Haji Fakhrurazi Zawawi, Ir. Amirudin Hamzah, Haji Taulan Rasul dan tokoh lain. Keseluruhannya, Kedah nampaknya mampu bertahan dalam PRU akan datang.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang tidak kurang menghadapi serangan hampir setiap hari – ada-ada saja isu – nampaknya masih utuh kerana perpaduan tiga parti Pakatan Rakyat itu, di bawah kempimpinan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng. Beliau dan barisan kepimpinannya mampu menangkis pelbagai serangan yang berbau perkauman dari Umno/BN.

Negeri Kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa menghadapi cabaran. Ada-ada saja isu yang ditimbulkan oleh media Umno/BN. Ini tentunya menuntut kesepaduan sikap, gerak kerja, matlamat dan kewibawaan pemimpin Pakatan di negeri yang diperintahnya.

Namun cabaran dan serangan jauh lebih hebat dihadapkan keadaan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berbanding dengan negeri lain. Ini sudah tentu kerana Selangor adalah negeri terkaya dan paling sofistikated di Malaysia.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seorang ahli korporat ternama, nampaknya mampu mengendalikan bahtera Selangor ini di tengah lautan dengan gelombang buasnya.

Justeru sangat diperlukan kesepaduan di kalangan semua Exxo Selangor, kerjasama PAS-PKR-DAP dengan bersedia mengkesampingkan isu-isu kecil bersifat peribadi dan menghindarkan sebarang pemikiran dan elemen perkauman.

Jika masalah ini dapat diselesaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, kita yakin dengan izin Allah, Kerajaan PR di negeri itu akan dapat bertahan dalam pilihan raya akan datang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan