Pelabur Tidak Ada Wang Melabur di Malaysia, Ada Banyak Wang Melabur di Thailand

tayadihmaysia

Hari ini UM menyiarkan laporan tentang pendapat Che Det berkaitan dengan penurunan luar biasa FDI Malaysia. Sebelum ini, bertebaran artikel yang ditulis khusus untuk membela penurunan luar biasa FDI Malaysia dalam blog pro-UMNO. Antara artikel yang ditulis turut menghentam YB Dato' Mahfuz Omar kerana lantang mempertikaikan penurunan FDI tersebut. Sehingga YB PAS ini diperlekehkan sebagai YB yang tidak habis sekolah. Malah, mereka turut mempertikaikan kelayakan akademik beliau. Namun, apabila dibaca hujah logik akal tersebut, mereka seharusnya berasa malu dengan tohmahan yang telah dibuat.

Antara hujah mereka yang kunun-kununnya "bijak pandai" ini termasuklah:

...Lebih baik kita tumpukan kepada penjelasan kenapa FDI merosot sebanyak 81 peratus kepada RM4.43 billion pada 2009 berbanding RM23.47 billion pada 2008.

Untuk memudahkan pemahaman Mahfuz, kita terangkan dalam bahasa yang boleh difahami oleh rakyat biasa.

Malaysia kini tidak lagi menumpukan kepada industri berasaskan tenaga buruh. Sebaliknya, negara menekankan perindustrian berasaskan kemahiran dan pengalaman.

Langkah ini diambil bagi mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing. Ini antara salah satu sebab yang mungkin menyebabkan syarikat-syarikat yang mementingkan kos buruh yang rendah tidak memilih Malaysia.

Bagaimanapun, langkah ini adalah tepat dan memberi manfaat kepada Malaysia dari segi sosial dan jangka panjang.

Krisis ekonomi dunia juga memberi kesan langsung kepada FDI. Sebelum ini, kebanyakan syarikat-syarikat yang melabur di Malaysia melaburkan kembali keuntungan mereka di sini.

Tetapi, memandangkan seluruh negara di dunia, termasuk negara-negara kuasa besar juga terjejas dengan krisis ini, maka pelabur-pelabur perlu lebih teliti dalam menangani belanjawan syarikat.

Perancangan, pemantauan dan kawalan kewangan lebih ketat dan dibuat terus oleh syarikat induk di negara-negara masing-masing.

Oleh yang demikian kebanyakan syarikat-syarikat ini memilih untuk tidak melaburkan semula keuntungan mereka sebagai langkah menangani krisis ini.

Malaysia kini berada dalam
proses transisi di mana Model Ekonomi Baru baru saja diperkenalkan.

Pelabur-pelabur perlu mengambil masa memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang dilakukan oleh kerajaan.

Selain itu,
tanggungjawab membawa masuk FDI juga lebih banyak dipikul oleh kerajaan negeri.

Kerajaan negeri pada ketika ini mengambil langkah kurang aktif dalam mempromosi pelaburan kerana menunggu masa yang lebih sesuai iaitu setelah pelabur-pelabur membiasakan diri dengan perubahan-perubahan yang dibuat serta apabila keadaan ekonomi menjadi lebih stabil.
Untuk pengetahuan Mahfuz, khususnya, dan pembangkang, amnya, merancang FDI memerlukan masa yang panjang,bukannya seperti melabur dalam Kohilal...

Benarkah begitu keadaannya? Sedangkan Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan tidak berpendapat demikian. Ku Li membidas kenyataan menteri yang didakwanya tidak bercakap benar dan memutar belitkan fakta tentang FDI. Antara laporan tentang hal ini termasuklah:
...
Mustafa dilaporkan berkata ini kerana Malaysia tidak berminat menarik pelaburan dalam sektor pulangan rendah seperti yang melanda ekonomi kawasan lain. Razaleigh yang juga ahli parlimen Guan Musang mengetepikan perkiraan bahawa pelabur tempatan lari ke luar negara kerana pasaran Malaysia sudah tepu. "Masalah sebenarnya ialah keyakinan (pelabur). Jika begitu, kenapa syarikat seperti YTL buat stesen janakuasa di Singapura? Awak boleh tanya mereka."Kita perlukan duit untuk bangunkan negara ini. FDI bukan hanya bawa duit tapi latihan dan kemahiran pembangunan."Mungkin inilah idea para blogger pro-UMNO untuk mempertahankan kejatuhan FDI negara. Inti pati alasan menteri ini pun lebih kurang sama dengan isi blog-blog proKERAjaan. Ada sesiapa yang mahu mempertikaikan kenyataan Ku Li?

Che Det hari ini seperti yang dilaporkan dalam UM juga tidak berpendapat demikian. Katanya, pelabur asing tidak ada wang untuk melabur di Malaysia. Wah, benarkah begitu Che Det?! Ironinya, mereka (pelabur-pelabur asing) ada banyak wang untuk melabur di Singapura (ASD17 ribu juta), Thailand (ASD6 ribu juta) , Indonesia, dan Vietnam. Bukankah pelik jika Che Det yang begitu terkenal dengan ilmu ekonominya berkata sedemikian rupa. Mengapa mereka melabur di Singapura dan Thailand, tidak pula di Malaysia. Berbanding Thailand yang tidak stabil situasi politiknya, bukahkah Malaysia sepatutnya mempunyai kelebihan untuk memperoleh FDI yang lebih tinggi.

Hujah blogger pro-UMNO, negara kita kini tidak lagi menumpukan industri berasaskan buruh tetapi kini beralih kepada industri berasaskan kemahiran dan pengalaman. Jika begitu, apa pula peranan berjuta-juta pendatang asing yang bekerja di Malaysia? Mereka bekerja dalam industri berasaskan apa? Jika benar begitu, adakah Singapura dan Thailand yang mempunyai FDI yang cukup tinggi masih menumpukan industri berasaskan buruh? Sedangkan dari segi ekonomi, Singapura lebih maju daripada Malaysia.

Kata mereka, pengenalan Model Ekonomi Baru turut memberikan kesan kepada kemasukan FDI. Kalau tidak silap, semasa mengumumkan MEB, PM 1Malaysia telah berjanji untuk meliberalisasikan ekonomi negara sehingga kouta untuk Bumiputera pun dihapuskan demi menarik pelaburan asing. Hal ini mungkin sengaja disembunyikan oleh blogger -UMNO, namun itulah realitinya. Ironinya, pengumuman itu sewajarnya menarik lebih banyak pelabur asing kerana polisi ekonomi negara ini sudah agak seiring dengan negara-negara lain. Mengapa FDI kita semakin merosot sedangkan MEB memberikan banyak kelebihan kepada pelabur asing?

Saya bukan pandai ekonomi. Hujah saya mungkin kurang bijak berbanding dengan orang bijak pandai dalam bidang ini. Namun, janganlah cuba menegakkan benang yang basah. Berilah komen yang membina bukannya asyik membodek PM1 Malaysia sehingga menyebabkan negara ini terus merundum dan mendatangkan kesan yang negatif kepada negara. Jika mahu menyokong, janganlah menyokong untuk membawa rebah!

Saya petik:
Pelabur asing tidak ada wang untuk melabur - Dr. Mahathir
[UM] KUALA LUMPUR 1 Ogos - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini disebabkan pelabur asing seperti dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak mempunyai wang untuk dilaburkan.

Bekas Perdana Menteri memberitahu, pelabur terbabit juga memerlukan wang yang mereka ada untuk dilaburkan di dalam negara sendiri berikutan keadaan ekonomi yang semakin teruk terutama di Eropah dan AS.

''Keadaan ekonomi Eropah dan AS amat terjejas berikutan krisis kewangan yang melanda negara terbabit sehingga ramai rakyatnya tidak mempunyai pekerjaan.

''Kebanyakan pelabur terpaksa menumpukan kepada pelaburan di dalam negara masing-masing kerana ia amat diperlukan di sana, ini bermakna mereka tidak akan membuat pelaburan besar di negara lain,'' katanya.

Beliau yang merupakan Pengerusi The Loaf berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan cawangan keempat The Loaf di IOI Boulevard di Puchong dekat sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pengarah Urusan The Loaf, Jiro Suzuki.

Dr. Mahathir mengulas mengenai Malaysia mencatat kejatuhan FDI sebanyak 81 peratus tahun lalu kepada AS$1.38 bilion (RM4.22 bilion) berbanding AS$7.31 bilion (RM23.39 bilion) pada 2008 yang merupakan rekod terburuk dialami negara sejak 15 tahun lalu....
Berkaitan:
* Hairan Bin Ajaib: Cerita "FDI" Thailand dan "FDI" Malaysia

www.duniacacamarba.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan