Restoran saji daging manusia?

BERLIN: Sebuah restoran baru memeranjatkan bakal pengunjung apabila melancarkan iklan meminta sumbangan anggota tubuh manusia dan membayangkan ia akan termasuk dalam menunya.

“Penderma dikehendaki. Jadi ahli hari ini,” menurut pengumuman dalam laman web Filme, sebuah restoran yang dijadual dibuka di Berlin, lapor akhbar Der Spiegel.

Menunya menyenaraikan pelbagai masakan yang didakwa berasal daripada tabiat makan kaum Waririca, penduduk di Amazon yang terkenal kerana memakan daging manusia.

Ia meminta bakal penderma mengisi borang dan menyenaraikan secara terperinci kesihatan dan tabiat senaman mereka sebelum menambah: “Selepas pemeriksaan perubatan, anda boleh memutuskan bahagian mana yang ingin anda derma!” Lokasi dan butiran terperinci Filme, yang juga mengiklankan jawatan untuk seorang ‘pakar bedah yang berfikiran terbuka,’ tidak didedahkan. Laman web itu menjelaskan: “Kami menganggap menjamu selera sebagai sebahagian daripada perbuatan spiritual di mana roh dan kekuatan manusia yang dimakan itu diberikan kepada tetamu.” Bagaimanapun, sebahagian besar penduduk Jerman percaya ia iklan palsu atau langkah untuk menarik perhatian. “Saya yakin ia hanya jenaka,” kata Naib Pengerusi Parti Kristian Demokrat Berlin, Michael Braun.

“Tetapi ia amat meloyakan lebih-lebih lagi seorang penduduk Berlin pernah dibunuh dan kemudian dimakan seorang lelaki, juga penduduk bandar raya itu, tidak lama dulu,” katanya.

Braun dipercayai merujuk kepada Armin Meiwes yang dihukum penjara seumur hidup pada 2006 selepas memakan daging Bern Jurgen Brandes yang secara sukarela menawarkan diri untuk menjadi mangsanya.
-Agensi-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan