Saman ekor: Tahniah Mahfuz, PAS prihatin

Rakyat biasa
Tahniah buat YB Datuk Mahfuz Omar dan seluruh pimpinan PAS atas keprihatinan terhadap masalah saman ekor yang sedang melanda pemilik kenderaan sama ada penyokong PAS, Umno, PKR, DAP dan lain-lain parti yang disenarai hitam oleh pihak polis dan JPJ.

Situasi ini amat membingungkan pemilik kenderaan yang dikenakan saman ekor ini kerana saman ekor ini dibuat atas nama dan nombor kad pengenalan, bukan atas kenderaan.

Contohnya, seseorang yang memiliki dua kenderaan, salah satu mempunyai saman ekor (taraf bintang), maka kedua-dua kenderaan ini tidak dibenarkan memperbaharui roadtax jika saman ekor ini belum dijelaskan.

Contoh sebenar yang berlaku kepada rakan sekerja saya. Pada 2007, beliau membeli dua kenderaan, satu digunakan sendiri dan satu lagi digunakan suaminya. Pada awal Januari 2010, mereka bercerai dan kereta yang digunakan bekas suaminya telah dijual pada Mac 2010.

Pada minggu lepas, apabila beliau hendak memperbaharui roadtax kereta yang beliau gunakan sekarang di pejabat pos, kerani beritahu nama beliau disenaraihitam JPJ. Kemudian apabila dirujuk ke balai polis, alangkah terkejutnya apabila diberitahu ada 9 saman ekor taraf bintang (RM300) yang perlu dibayar segera sebelum dibenarkan memperbaharui kenderaan beliau yang tidak terlibat dng saman ekor. Adilkah hukuman ini?

Saya rasa ramai lagi yang berada dalam situasi seperti ini, kepada siapa nak mengadu? Sudahlah harga barang naik, ditambah lagi masalah sebegini membuatkan kita tertanya-tanya apakah maksud ‘rakyat didahulukan’?

Hal ini membuatkan saya semakin memahami kenapa masyarakat semakin memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat terutama PAS yang dilihat begitu bersungguh-sungguh membela rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan