Tahanan lari: Hishammuddin wajar dipecat

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 Ogos:
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dipertanggungjawabkan dan dipecat dari jawatannya berikutan insiden 20 tahanan warga Afghanistan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi Ahad, baru-baru ini.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen bersetuju dengan kata dua yang diberikan oleh menteri kepada ketua setiausaha kementeriaan itu dan juga kepada Ketua Pengarah Imigresen termasuklah mengarahkan pegawai yang bertugas menjaga tahanan itu ditukarkan segera.

Tetapi, katanya ini adalah insiden kali kedua melibatkan depoh tahanan yang sama, kali pertama berlaku adalah pada awal bulan Mac yang lalu di mana 12 rakyat rakyat Afghanistan dan empat rakyat Myanmar, yang semuanya lelaki berumur 22 hingga 48 tahun berjaya melarikan diri.

“Oleh itu, pihak menteri yang sama perlu ambil tanggungjawab untuk letak jawatan atau dipecat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, bukan tahap keselamatan dan pengawasan di depoh itu sahaja yang dipersoalkan, tetapi rakyat juga berada dalam keadaan ketakutan kerana negara ini semakin tidak selamat berikutan begitu ramainya pendatang tanpa izin (PATI) termasuklah mereka yang dikategorikan sebagai tinggal lebih masa selepas VOA (visa on arrival) mereka tamat.

DPPWP, ujarnya setuju jika VOA ditamatkan kerana usaha lain boleh dilakukan bagi menarik kehadiran pelancong.

“Dan DPPWP mahu kerajaan menjimatkan wang negara berikutan kos penghantaran kian meningkat. RM30.2 juta telah dibelanjakan bagi menghantar PATI ini, dengan kos harian mereka di pusat tahanan mencecah RM30 seorang,” katanya.

Menurutnya, proses penghantaran mereka ke negara asal perlulah dipercepatkan dan DPPWP mempersoalkan kenapakah 20 tahanan yang lari itu masih diletakkan dalam tahanan walaupun sudah ditangkap sejak Disember tahun lepas.

Tambahnya, hampir 8 bulan mereka duduk percuma di dalam tahanan di negara ini dengan semua perbelanjaan ditanggung rakyat.

Sehubungan itu, katanya DPPWP mencadangkan agar kerajaan memperketatkan pengurusan PATI dengan membahagikan sebahagian besar kos pembiayaan menghantar mereka pulang kepada kerajaan di negara asal mereka.

Selain itu, katanya kerajaan juga perlulah meningkatkan penguatkuasaan undang-undang di bawah kelolaan Imigresen di mana bagi mereka yang didapati tinggal secara haram dinegara ini hendaklah ditangkap dan dipenjarakan untuk satu tempoh tertentu sebelum dihantar ke negara asal.

“Dalam tempoh tahanan itu mereka diberikan hukuman bekerja di dalam sektor yang boleh mengaut dana untuk menampung kos mereka dihantar pulang seperti membuat kerja-kerja dobi dan yang bersesuaian.

“Konsep 'industrial jail' bukan sahaja akan menahan mereka tetapi memastikan negara tidak rugi dan dapat mengunakan khidmat mereka secara percuma atau dengan bayaran yang amat rendah untuk menjana industri yang dibina di bawah kelolaan kerajaan atau dengan kerjasama industri,” katanya.

Beliau menambah, gaji dan pendapatan mereka diberikan terus ke dalam akaun kerajaan bagi menampung kos mereka dalam tahanan dan kos penghantaran mereka dan dalam masa yang sama, jumlah kemasukan pekerja asing dihadkan.

“Apa pun jua, DPPWP akui bahawa kita berdepan dengan soal keselamatan, kedaulatan dan intergriti negara serta dalam masa yang sama kita juga berdepan dengan isu kemanusiaan.

“Namun kita perlu membuat pilihan yang tepat kerana kita tidak mahu kerajaan menghabiskan wang negara bagi perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan boleh dielakkan jika kawalan sempadan diperketatkan,” ujarnya.

Menurutnya, saban hari negara ini dibanjiri PATI yang jumlahnya kini dianggarkan lebih dari 1 juta orang dan masih berkeliaran menyebabkan prospek jenayah dan ancaman sindiket antarabangsa mencipta ketakutan.

“Oleh itu, DPPWP mahu Menteri bertanggungjawab dan dipecat. Struktur pentadbiran dan undang-undang berkaitan pengurusan pekerja asing dan PATI ini juga hendaklah diperbaharui segera,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan