Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman akur jika beliau ditukarkan berikutan insiden membabitkan 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi Ahad.
Beliau berkata teguran yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung perkara itu adalah berasas kerana insiden itu membabitkan maruah negara.
"Nasib saya... kalau sebagaimana kata Menteri (Dalam Negeri). Kalau sesuatu tidak dilakukan maka ketua pengarah perlu ditukarkan. Saya terima hakikat itu.
"Maknanya, saya tidak berperanan atau saya tidak dapat menjalankan tugas dengan baik yang diharapkan oleh menteri dan kerajaan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi semalam, semua tahanan berusia 25 hingga 40 tahun itu, disyaki memotong jeriji dua pintu halangan sebelum menyusup keluar.
Sebelum ini, pada 27 April lepas, 12 warga Afghanistan dan empat warga Myanmar berusia 22 hingga 48 tahun menyusup keluar melalui ruang jeriji yang dipotong sebelum melarikan diri dengan memanjat pagar pusat tahanan sama.
Hishammuddin, hari ini memberi kata dua kepada Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Mahmood Adam dan Abdul Rahman berhubung insiden berkenaan.
Beliau mahu Mahmood dan Abdul Rahman mengambil tindakan terhadap pegawai yang bertugas ketika kejadian itu selain memastikan sistem pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan di depot berkenaan.
Abdul Rahman berkata pada masa ini, 20 pegawai dan anggota jabatan berkenaan yang bertugas di depoh tersebut ketika kejadian itu berlaku, telah digantung tugas.
Pada masa sama, beliau meminta sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu supaya mengambil kira semua faktor termasuk kedudukan depoh berkenaan serta mereka yang ditahan di situ.
Beliau berkata warga Afghanistan terbabit telah ditahan pada Disember tahun lepas di Kuala Selangor sebelum diserahkan ke depoh berkenaan pada 18 Februari lepas.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan