Tok Guru Nik Aziz Jumpa Lailatul Qadar?

Ibnu Hasyim

"ADA orang kata Tok Guru Nik Aziz dah jumpa Lailatulqadar, apa pendapat kamu?" seseorang bertanya saya, lepas solat terawih kelmarin. Termenung juga saya, bagaimana nak menjawabnya?

Sambungnya lagi, "Kerana ada kitab menyebutkan, tanda-tanda kahadiran malam itu ialah, apabila terlihat nur terang benderang menyelinap di semua tempat dan cerok yang gelap gelita. Ada juga yang mengatakan terdengar ucapan salam dan kata-kata dari malaikat.

Ada juga yang melihat pohon-pohon kayu dan segalanya tunduk sujud, rebah menyembah Allah SWT. Air sungai pun berhenti mengalir.. segalanya ganjil-ganjil. Di situlah permohonan doa sesiapa yang bertuah menemuinya akan dimakbulkan Allah." Jelasnya bersungguh-sungguh.

Saya harap kawan saya itu mambaca huraian ini. Mari kita renung beberapa tafsir tentang Lailatul Qadar, seperti yang disebutkan dalam Surah Al-Qadr. Terdapat beza pendapat tentang status surah ini. Samada Makkiyyah (diturunkan di Makkah) atau Madniyyah (diturunkan di Madinah).

Ada pendapat menyatakan ia adalah surah pertama diturunkan di Madinah. 'Kitab Al-Itqan' memilih pendapat yang menyatakan ia adalah makkiyyah. Maksud diturunkan adalah untuk menzahirkan Al-Quran dari alam ghaib kepada dunia syahadah. Surah Al-Qadr menegaskan bahawa Al-Quran telah diturunkan dari Luh Mahfuz atau dari langit yang tertinggi (Jami al-Bayan, J. 15, hlm. 258) ke langit dunia iaitu Baitul Izzah pada malam Lailatul Qadar (Ruh al-Maani, J. 10, hlm. 198).

Ini ditegaskan lagi dengan sebuah hadis daripada Ibn Abbas yang menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan semua sekali malam Lailatul Qadar, pada bulan Ramadhan ke langit dunia (Jami al-Bayan, J. 15, hlm. 258).


Menurut Hamka, Lailatul Qadar memberi dua maksud.

Pertama; kemuliaan kerana setengah dari erti 'qadr' itu ialah 'kemuliaan'.

Kedua, bermaksud 'penentuan' kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuh oleh Rasulullah SAW dalam memberi pertunjuk kepada umat manusia.

Kalau dipakai erti kemuliaan, maka mulai pada malam itulah kemuliaan tertinggi dianugerahkan kepada nabi Muhammad SAW. Itulah permulaan Malaikat Jibril menyatakan dirinya dihadapan Nabi didalam gua Hira. Pada malam itu manusia diberi kemuliaan, dikeluarkan dari zulumat atau kegelapan kepada nur atau cahaya petunjuk Allah.

Jika diberi erti penentuan, bermaksud malam itu dimulai menentukan garis pemisah diantara kufur dengan iman, jahiliyah dengan Islam, syirik dengan tauhid. Penjelasan tersebut menunjukkan bahawa malam itu adalah malam yang istimewa berbanding dari segala malam (Hamka, J. 10, hlm. 8068). Malam yang membawa lembaran baru, turun wahyu ke dunia setelah terputus sekian lama.

Terdapat beberapa pendapat tentang peristiwa Lailatul Qadar, samada ia berlaku sekali atau datang pada setiap Ramadhan.

Menurut Ibn Umar, Lailatul Qadar berlaku pada setiap Ramadhan (Jami al-Bayan, hlm. 209). Pendapat lain dari setengah ulama menyatakan, Lailatul Qadar berlaku sekali sahaja iaitu ketika Al-Quran mulai diturunkan pertama kali.

Baca selanjutnya di http://www.ibnuhasyim.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan