Selain diperkuat dengan fatwa yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Malaysia, mereka berpendapat, amalan orang bukan Islam mendekati masjid atau surau adalah tanda positif terhadap penerimaan agama, selagi tidak bercemar kesucian agama.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.
Keputusan itu dicapai pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010.
Bekas Mufti Perlis itu tegas menyatakan, bukan menjadi satu kesalahan kepada orang bukan Islam untuk memasuki surau dan masjid asalkan niatnya baik dan betul.
“Jika tujuan dia masuk itu tujuannya untuk mempelajari Islam mengetahui tentang Islam dan mengkaji tentang Islam ataupun untuk urusan kehidupan yang ada dengan kepimpinan Islam dalam masjid umpamanya seperti zaman nabi.
"Nabi sebagai ketua agama dan berpusat di masjid mereka masuk untuk berjumpa dengan nabi dan meminta masuk yang mereka rasa urusan mereka dan mereka masuk tidak ada masalah,” kata bekas Mufti Perlis kepada TV Selangor.
Dr Asri berharap kepada umat Islam di negara ini tidak terikat dengan stigma tertentu hingga mendorong mereka membuat kesimpulan mudah tapi salah.
Beliau menyarankan semua pihak menyelesaikan masalah ini berpandukan hukum hakam agama dan bukan bersandarkan kepada pemikiran politik.
“Saya mengharapkan perkara seperti ini jangan dimulakan hukuman yang menjadikan orang bukan Islam takut, lebih baik media-media ini memainkan peranan menerangkan prinsip umum Islam termasuk dalam masjid, apa pandangan Islam. Islam kata tidak ada masalah, mereka boleh masuk masjid jika niat mereka betul.
"Jika niat mereka salah, maka tujuan mereka salah, maka tidak boleh masuk masjid,” kata beliau.
Dr Asri mengingatkan semua pihak prinsip agama bukan bertiangkan politik kepartian yang membawa kepada pelbagai prejudis dan persepsi, sebaliknya mesti bersandarkan fakta dan dalil.
“Isu agama mesti diulas atas prinsip agama. Prinsip agama sentiasa ditegakkan melalui fakta sedangkan politik kepartian sentiasa ia dibina di atas prejudis dan persepsi.
"Jika kita mahu bercakap berkenaan agama, mesti mengikut kepada penghujahan agama. Jangan jadikan penghujahan politik untuk penghujahan agama kerana politik kepartian ada agenda di sebalik isu.
"Akan tetapi, agama sentiasa konsisten dan tegap dan dibina di atas prinsip,” katanya lagi.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat, Dr Muhammad Nur Manuty menggesa umat Islam menyelak kembali lembaran sejarah ketamaduan Islam sebelum membuat kesimpulan melulu.
Ini akan membolehkan umat Islam lebih memahami isu dan perkembangan dunia Islam dengan lebih luas dan tidak terperangkap dengan kepompong budaya yang belum tentu berpaksi ajaran agama.
“Saya fikir masyarakat umat Islam kena mendalami lagi Islam daripada segi hukum hakam dan juga sejarah ketamadunan umat Islam yang berpangkalan di Makatul Mukarramah kemudian ke Madinah kemudian ke Baitul Maqdis.
Ini, supaya memahami adanya ruang-ruang yang diadakan orang Islam untuk masuk ke dalam masjid dan juga pembinaan gereja yang dibina berhampiran masjid seperti di Baitul Maqdis. Jadi umat Islam kena pertingkatkan kefahaman tentang Islam dan sejarahnya,” katanya.
Beliau menganggap tindakan Teo Nie Ching itu menunjukkan seorang pemimpin bukan Islam cuba membantu dan menyelami kehidupan umat Islam.
Malah, ia jauh berlawanan dengan gelagat wakil rakyat Barisan Nasional yang selama ini memandang remeh keperluan infrastruktur surau tertentu.
"Hari ini kita tengok Ahli Parlimen Serdang sudah memberitahu tujuan dia bukan bertazkirah tetapi orang menyebut-nyebut dia memberi tazkirah. Mana ada dia bertazkirah, dia menyampaikan maklumat terkini polisi kerajaan Selangor.
"Sebagai wakil rakyat dia perlu untuk menjalankan tugasnya di mana wakil rakyat daripada PR lebih baik daripada menjalankan tugas daripada wakil rakyat BN yang menjalankan tugas yang bukan Islam langsung tidak menghayati budaya orang Islam terutamanya dalam bulan Ramadan,” katanya.
-tvselangor-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan