Wanita MCA nafi berselisih faham dengan Presiden

Ketua Wanita MCA, Datuk Yu Chok Tow, hari ini menafikan wujud perselisihan faham antara pergerakan itu dengan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

NONEBeliau berkata, hubungan antara Chua dan Wanita MCA lancar dan harmoni serta tidak timbul isu perbezaan pendapat.

"Saya tidak tahu apa yang kamu (wartawan) maksud dengan perselisihan pandangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri dialog tertutup antara presiden MCA dan ahli jawatankuasa pusat Wanita MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Wanita MCA, Tan Ah Eng, dilaporkan melahirkan rasa tidak berpuashati dengan Chua kerana tidak mengesyorkan calon daripada pergerakan itu untuk jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

Yu berkata, perkara utama dialog pada hari ini adalah membincangkan masa depan parti dan bagaimana untuk mendapat sokongan dan perhatian pengundi.

"Apa yang penting sekarang adalah bagaimana untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan menganalisis situasi politik semasa. Kami perlu tahu situasi semasa. Jadi, Wanita boleh mengeluarkan pandangan dan cadangan untuk membantu parti," katanya.

Beliau berkata, Chua telah mengemukakan beberapa cadangan yang akan dibincangkan lebih lanjut pada 15 Ogos ini.


-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan