“Dik, Awal Beli Air Untuk Berbuka Tengahari Ni”

ustnik
Ramadhan hampir ke hujung. Pengalaman peribadi, sudah 3 kali saya bertemu dengan anak muda yang tidak berpuasa atau menunjukkan tanda-tanda tak berpuasa.

Pengalaman pertama ialah apabila sedang memberi kuliah di pagi Ramadhan. Seorang pekerja anak muda lelaki masuk. Bau asap rokok ketara hinggap di hidung. Saya rasa kurang enak. Sambil berkuliah, saya menegur dan memberi nasihat secara umum: ‘Hidung saya tak sedap ni. Bau asap rokok.

Samada ada yang tak puasa, atau ada pelanggan bukan Islam hisap rokok depannya sehingga melekat bau asap pada baju.’ 2 orang pekerja lelaki spontan mencium bau baju masing-masing. Pendekkan cerita, saya dapatkan kepastian dari majikan tentang pekerjanya.

Pengalaman kedua: Saya menunggu dalam kereta bersama anak kecil sementara isteri beli satu barang di kedai jam 11 pagi. Dari dalam kereta, kelihatan seorang anak muda membawa beg kain merah masuk ke dalam kedai itu. Keluar dengan air bergas botol besar di tangan. Sambil memandang kanan dan kiri, remaja lelaki itu memasukkan air ke dalam beg kain tersebut. Dia lalu di tepi kereta saya. Saya keluar kereta. Spontan saya sebut: ‘Dik, awal beli air untuk berbuka tengahari ni,’. Remaja lelaki itu menjawab: ‘Dok, karang!’ (Tak, air ini untuk petang nanti). ‘Allah nampak dik. Kalau sungguh tak apa, tapi kalau bohong, bohong diri sendiri, bukan tipu Allah.’ Dia diam sambil berlalu. Bohong atau tak terpulang tapi saya dah nasihatkan apa yang patut.

Pengalaman ketiga: Saya singgah di sebuah kedai untuk membeli barang. Seorang anak muda pemandu lori besar sedang membayar di kaunter untuk pembelian air bergas botol besar. Dengan ayat yang hampir sama saya menegur pemuda itu. Dia diam. Saya beli barang dan ke kaunter. Anak muda itu masih di situ. Saya sebut kepada perempuan penjaga kaunter: ‘Elok kalau tampal kat belakang: ‘Kami tidak bersubahat dengan orang yang tak puasa. Allah melihat apa yang anda buat.’ Perempuan penjaga kaunter kedai itu hanya diam. Tak ada respon. Anak muda itu berlalu dengan membawa air minuman yang dibeli.

Saya yakin bahawa ramai sebenarnya anak muda dan anak tua yang tidak berpuasa, walaupun Allah sedang membuka pintu peluang untuk menjadi manusia yang taat dan patuh. Itu yang tak puasa. Yang puasa pula belum tentu mendapat taqwanya. Kalau Ramadhan yang menjadi bulan tarbiyyah untuk taat pun tak dapat taat, maka di luar Ramadhan lagi payahlah jawabnya. Dengan kata lain, apa jadi dengan masyarakat kita kalau yang fasiq lebih ramai dari yang baik? Moga saya dan anda tak termasuk di kalangan mereka yang rugi ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan