Datuk Ibrahim Ali menegaskan beliau hanya akan mendedahkan rahsia pemimpin Umno - dua ahli Parlimen dan seorang menteri – apabila tiba sama yang sesuai tetapi hanya mahu ikut rentak mereka sekarang.
“Sama ada nak dedah rahsia mereka, terpulang kepada saya kerana saya hanya akan menari ikut rentak.“Kalau cakap pasal mereka makna adalah sesuatu yang saya tahu,” katanya ketika sidang media di pejabat Suara Perkasa Sdn Bhd di sini di sini.
“Saya bukan penakut, saya sedia hadapinya jadi tidak perlu nak paksa saya.
“Kalau saya cakap akan dedah maknanya akan dedah, saya nak tengok siapa tekan siapa dulu,” katanya.
Ketiga-tiga pemimpin Umno tersebut adalah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Sebelum ini, Nazri mencabar Ibrahim supaya mendedahkan apa saja rahsia yang beliau dakwa ada sekarang.
Beliau menegaskan, ugutan Ibrahim baru-baru ini sama sekali tidak membimbangkannya, sebaliknya tindakan wakil rakyat Bebas itu memperkuatkan beliau dalam menentang sikap “rasisme” yang dibawa oleh Perkasa.
Dalam program Perkasa di Pasir Mas baru-baru ini, Ibrahim memberi amaran kepada tiga pemimpin Umno tersebut supaya tidak lagi mempersoalkan perjuangan pertubuhan Melayu itu yang ditubuhkan dua tahun lalu untuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.
Ketiga-tiga pemimpin tersebut pernah mendakwa Perkasa boleh menjadi punca kepada BN kehilangan sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.
“Saya kenal siapa mereka, mereka sepatutnya tidak salahkan Perkasa,” kata beliau sambil mendakwa, “Saya tahu DNA mereka.”
“Kalau saya dedahkan nanti, jadi berperang pula,” kata Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Ketika ditanya mengenai isu kenyataan seorang pagawai kanan Biro Tata Negara yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman Isnin lalu, Ibrahim mempertahankan pegawai tersebut sambil mengkritik tindakan sesetengah pemimpin yang telah menjatuhkan hukuman terlebih dahulu sebelum perkara itu disiasat.
“Benda ini masih lagi baru, kita pun belum tahu sama ada perkara ini benar atau tidak.
“Jadi tidak seharusnya pemimpin politik menjatuhkan hukuman kepada pegawai tersebut, biar pihak berwajib menyiasat terlebih dahulu perkara ini.
“Kalau belum apa-apa dah jatuhkan hukuman macam mana kita nak melahirkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai isu perpaduan ini,” katanya.
Kelmarin, Timbalan Pengarah BTN Wilayah Persekutuan Hamim Hussain telah mengeluarkan kenyataan bahawa hak orang Melayu adalah untuk menerajui negara dan boleh bersatu untuk menghadapi apa jua ancaman sebelum pilihan raya umum akan datang.
“Hak orang Melayu adalah untuk memerintah negara ini. Ia jelas,” kata Hamim pada majlis dialog anjuran Puteri Umno baru-baru ini.
“Orang Melayu mesti bersatu untuk menghadapi cabaran,” tambah beliau.
Hamim juga berkata orang Melayu tidak boleh memerintah negara ini tanpa bekerjasama dengan -masyarakat bukan Melayu memandangkan setiap rakyat hanya membawa satu undi.
“Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC,” katanya lagi.
“Si mata sepet yang tidak pernah pergi ke masjid atau ke surau juga hanya mempunyai satu undi.
“Si botol yang hanya tahu naik dan turun Batu Caves juga hanya mempunyai satu undi,” kata beliau merujuk kepada masyarakat Cina dan India negara ini.
“Jadi, Puteri Umno mesti berkawan dengan golongan muda bukan Melayu,” kata beliau.
Kenyataan yang dibuat Hamim dikecam pemimpin-pemimpin MIC dan DAP sambil menyifatkan konsep 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi ‘mangsa’ tindak tanduk pihak di sekitarnya sendiri.
Penasihat DAP Lim Kit Siang juga berkata tindakan timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong BTN secara terbuka sebelum ini juga memudaratkan idea 1 Malaysia digerakkan perdana menteri.
Dalam pada itu, Subramaniam yang juga Naib Presiden MIC sebelum inijuga mengecam kenyataan-kenyataan bersifat menghina masyarakat bukan Melayu itu hari ini.
Beliau juga menggesa agar kerajaan menjalankan siasatan mengenai perkembangan tersebut.
Subramaniam bimbang kenyataan-kenyataan itu akan dianggap sebagai menggambarkan pendirian pentadbiran Najib, yang sudah tentu akan merosakkan imej beliau selaku perdana menteri.
Selain itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub juga mengecam kenyataan yang dibuat Hamim sambil menyifatkan ia adalah imej sebenar Umno untuk memecah-belahkan semua kaum di negara ini.
Pagi tadi Pemuda MIC menggesa Ketua Setiausaha Negara mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai kanan awam termasuk yang terbaru Hamim, yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman agar ia menjadi pengajaran kepada kakitangan kerajaan lain.
Ibrahim yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas juga mencadangkan agar kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap seorang paderi di Sarawak yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak.
“Kita cadangkan agar ISA digunakan terhadap paderi itu kerana telah menyampaikan ceramah yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan menyinggung perasaan orang Islam.
“Perkasa memang kesal dengan paderi itu dan kita harap kerajaan dapat bertindak pantas dan tegas bagi menangani isu ini,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga perlu menggunakan ISA terhadap mana-mana individu yang melakukan perkara berbaur perkauman dan keagamaan.
“Kita mahu kerajaan bertindak pantas dalam isu kerana sebelum ini banyak isu perkauman yang berlaku namun tindakan terhadap mereka lambat dan mengambil masa yang lama.
“Jadi kita mahu kerajaan memandang serius akan perkara ini. Kalau kerajaan menggunakan prosedur biasa ia agak lama dan lebih baik jika ISA digunakan.
“Saya percaya kalau kerajaan tidak mengambil tindakan dalam isu ini rakyat mungkin akan mengambil tindakan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan tindakan seorang paderi yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad dan agama Islam dalam satu ceramah di sebuah gereja di Kuching, Sarawak yang disiarkan di internet.
The Malaysian Insider difahamkan polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat perkara tersebut.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan