Jumpa tulang disyaki milik Shafik

NORHAYATI YAHAYA 



Kenderaan forensik polis masuk ke ladang ternakan di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting semalam.

BANTING: Pasukan polis forensik semalam menjumpai sejumlah serpihan tulang dipercayai tulang manusia selepas menggali beberapa kawasan di sekitar ladang ternakan di Ladang Gadong, Tanjung Sepat semalam.
Satu sumber berkata, ada kemungkinan tulang tersebut milik Shafik Abdullah, 37, yang dilaporkan hilang sejak April lalu.
Penemuan tersebut didakwa oleh sumber itu amat penting bagi membantu siasatan kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah itu.
Bagaimanapun, sumber itu berkata, tulang-tulang itu perlu dianalisis terlebih dahulu kerana ia dikhuatiri bukan tulang manusia.
“Tidak ada apa yang boleh didedahkan kecuali penemuan itu mungkin boleh membantu kehilangan Shafik,” kata sumber itu lagi.
Selain tulang, satu sumber lain turut mendakwa menjumpai barangan lain yang akan dianalisis untuk mengetahui sama ada ia milik Shafik atau mangsa lain yang dilaporkan hilang.
Ditanya mengenai kehadiran sebuah jentera bomba ke ladang itu, sumber itu memberitahu, ia dipanggil dengan tujuan membekalkan air kepada pasukan penyiasat di situ ekoran ladang tersebut menghadapi masalah air.
Sebuah lori Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd.) turut berada di situ didakwa bagi membantu membaiki paip pecah.
-kosmo-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan