Kedutaan besar M'sia diserang lagi

Sejumlah penunjuk perasaan sekali lagi menceroboh dengan memanjat pintu pagar dan bangunan pos pengawal keselamatan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan dalam satu demonstrasi hari ini.

NONEBerikutan itu Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada Kementerian Luar Negeri Indonesia dan Polis Indonesia kerana perbuatan penunjuk perasaan itu tidak dihalang oleh anggota polis yang mengawal di hadapan kedutaan itu.

Duta Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin berkata penghantaran nota bantahan itu akan dibuat sesuai dengan pengakuan pihak berkuasa Indonesia untuk melindungi Kedutaan Besar Malaysia dan warga negara Malaysia yang berada di Indonesia.

Jaminan itu sekali lagi ditegaskan pada mesyuarat Menteri Luar Indonesia dan Malaysia di Kota Kinabalu semalam.

Pada akhir mesyuarat itu semalam, Indonesia menegaskan bahawa ia akan melindungi kedutaan besar dan rakyat Malaysia di negara itu, begitu juga dengan Malaysia yang turut memberi jaminan untuk melindungi kedutaan besar dan warga Indonesia di Malaysia.

Dalam demonstrasi selama sejam mulai pukul 11.40 pagi ini, 170 anggota kumpulan Laskar Merah Putih (LMP) serta beberapa kumpulan lain dalam gerakan bersama "ganyang Malaysia", telah datang ke Kedutaan Besar Malaysia ketika hujan lebat.

NONESejurus tiba, beberapa anggota kumpulan yang berpakaian seragam LMP terus memanjat pintu pagar dan berdiri di atas bangunan pos pengawal keselamatan sambil mengibarkan bendera Indonesia.

Mereka turut merentangkan sepanduk bertulisan "Ganyang Malaysia" di pintu pagar itu dan dalam pidatonya kumpulan itu meminta agar kerajaan Indonesia melancarkan perang terhadap Malaysia dan mereka sendiri bersedia turut serta bagi mempertahankan Indonesia.

Kumpulan itu juga cuba merentangkan bendera merah putih yang panjang di pintu pagar itu namun dihalang oleh Polis Indonesia, yang kemudian meminta mereka turun daripada atas bangunan pos pengawal keselamatan itu.

NONEPasukan polis yang datang awal menunggu penunjuk perasaan dengan beberapa kenderaan termasuk sebuah gerabak kenderaan yang membawa tiga gulung kawat berduri tetapi ia tidak direntangkan di hadapan kedutaan besar itu.

Ini adalah kejadian kedua membabitkan anggota LMP memanjat pintu pagar dan berdiri di atas bangunan pos pengawal keselamatan yang sama di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Kali pertamanya ialah pada 16 Ogos lalu dan dalam kejadian itu, selain menceroboh, mereka turut merosakkan plak nama Kedutaan Besar Malaysia dengan menggunakan batang buluh serta mengotor plak itu dengan lumpur longkang.

Sebelum mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia hari ini, kumpulan itu telah berdemonstrasi di hadapan Kementerian Luar Negeri Indonesia dan selepas aksi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia,
mereka meneruskan aksi sama di hadapan Istana Negara, iaitu pejabat dan kediaman rasmi Presiden Indonesia.

NONESelain kumpulan LMP, dua kumpulan lain iaitu Kesatuan Aksi Lintas Mahasiswa (Kalam) dan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) dilaporkan akan turut mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Besar Malaysia hari ini.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan