Masterskill bina kampus RM31 juta di Kelantan

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 29 Sept: Masterskill Education Group Berhad telah meluluskan peruntukan pelaburan sebanyak RM31 juta bagi membina kampus baru di negeri ini.
Pelaburan itu bertujuan untuk menjayakan hasrat menjadikan kampus Kolej Masterskill di Kota Bharu sebagai kampus utama kawasan Pantai Timur.

Pengurus Masterskill Kota Bharu, Mohd Nazir Abdullah, berkata dianggarkan 6,000 orang pelajar dapat ditempatkan di kolej terbabit apabila ianya beroperasi sepenuhnya menjelang 2011.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian komputer riba kepada 400 orang pelajar Kolej Masterskill Kampus Kota Bharu, pagi tadi.

Menurutnya lagi, kerja-kerja pengubahsuaian bangunan berkenaan yang terletak berhampiran Tesco kini sedang giat dijalankan.

“Jumlah pelaburan yang begitu besar membuktikan komitmen Masterskill sendiri untuk menjadikan Kelantan sebagai salah satu pusat perkembangan pendidikan tinggi di Semenanjung Malaysia selepas cawangan di Kota Kinabalu bagi kawasan Malaysia Timur,” ujarnya lagi.

Sementara itu, sebanyak RM10 juta dibelanjakan untuk pembiayaan pembelian komputer riba kepada para pelajar yang telah bermula sejak awal lagi.

“Objektif utama sumbangan ini untuk mereka bagi mendorong minat pelajar dalam meningkatkan mutu pembelajaran,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa bangga di atas tindakan yang diambil pihak Masterskill kepada pelajarnya.

Katanya, ia adalah sebahagian tanggungjawab sosial Masterskill untuk para pelajarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan