SALWA SHA’ARI
KUALA LUMPUR: Saksi ke-enam kes khalwat dua pelakon, Norman Hakim dan Memey Suhaiza mendakwa pasangan tersebut kekal tinggal bersama tanpa rasa malu seminggu selepas dicekup oleh anggota penguatkuasa agama.
Mohd Yusri Abdul Razak menambah, dia juga telah membuat aduan dan laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada hari yang berlainan berhubung perkara itu.
“Saya buat laporan sebanyak tujuh atau lapan kali di pejabat Jais di Gombak dan juga Shah Alam tetapi tiada tindakan.
“Alasan yang diberikan ialah prosedur mahkamah telah bermula dan juga kerana terdapat banyak operasi,” katanya selaku saksi pendakwaan ke-enam.
Mohd Yusri yang juga merupakan pengadu dalam kes itu, sedang disoal semula oleh Pengawai Pendakwa Syarie Jais, Mohamad Nazri Basrawi yang mengendalikan pendakwaan.
Perbicaraan yang didengar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini Jumaat, juga menyaksikan jawapan saksi beberapa kali dibantah atas alasan ia tidak berkaitan dengan kes yang sedang dibicarakan.
Antaranya ialah jawapan Mohd Yusri, seorang perunding kreatif yang mendakwa Norman sebagai seorang yang mempunyai split personality (dua perwatakan berbeza).
Selain itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan juga membantah kenyataan saksi yang mengatakan tanggungjawab untuk menegakkan benang yang basah adalah lebih berat berbanding kewajipannya untuk menegakkan kebenaran.
Fakhrul: Saya mahu saksi menarik semula perumpamaan menarik benang yang basah.
Mohd Yusri: Saya tidak tuduh sesiapa. Itu secara umum.
Mohd Yusri juga berkata, Nabi Muhammad S.A.W juga menghadapi pelbagai dugaan dalam perjuangannya menegakkan kebenaran.
“Tanggungjawab saya juga berat. Tapi demi kebenaran, agama dan juga masyarakat Islam di sana (tempat kejadian), saya terpaksa,” katanya lagi.
Pada keterangan lain, Mohd Yusri juga mengakui ada memanggil seorang wartawan dalam usaha mahu menginsafkan pasangan tersebut.
“Saya mahu wartawan menyindir perkara ini dalam akhbar tanpa menyebut nama dan tempat.
“Niat saya supaya wartawan ini dapat membantu Norman dan Memey insaf dan sedar tanpa tangkapan dilakukan. Ini dapat mengelakkan sesiapa daripada diaibkan,” tambahnya.
Menurut Mohd Yusri, perkara itu ada ditulis di dalam ruangan gosip dua akhbar tempatan pada hujung minggu.
Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 34, dan Memey, pemilik nama Suhaiza Suhaimi, 22, dibicarakan atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini pada pukul 3 pagi, 30 Oktober 2008.
Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala pendakwaan terhadap Memey dibuat di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen yang sama.
Pasangan yang baru bertunang pada Hari Raya ke-empat di Felda Tenggaroh, Selatan 1, Kota Tinggi, Johor kini berhadapan dengan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Salehan Yatim bersambung 8 Oktober depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan