Tiga Remaja Perempuan Hilang Selepas Beraya Di Rumah Rakan

IPOH, 13 Sept - Dua beradik kembar perempuan dan seorang rakan mereka dilaporkan hilang selepas beraya di rumah kawan mereka di Kampar, kira-kira 45 km dari sini, pada hari raya kedua Sabtu lalu.


Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh, berkata mereka dikenal pasti sebagai Nurulashiqin Kamarazmi dan kembarnya Nurulain dan rakan mereka Suhaily Abdul Razak, masing-masing berusia 14 tahun berasal dari Taman Sentosa, Kampar.


“Mereka bertiga dikatakan pergi beraya di rumah rakan-rakan di sekitar Kampar pada jam 11 pagi tetapi tidak pulang sehingga jam 11 malam pada hari sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Katanya, ibu dua beradik kembar itu, Harliza Samah, 44, membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka.


Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga remaja itu bersekolah di Sekolah Menengah Sentosa, Pekan Baru, Kampar.
Sementara itu, Harliza berkata, anaknya meminta izin keluar pada hari raya kedua untuk mengunjungi rumah rakan-rakannya.


"Mak cik telefon mereka pada jam 11 pagi dan mereka menjawab masih berada di pekan Kampar bersama rakan-rakan dan sekali lagi menghubungi mereka pada jam 3 petang dan 7 petang, tetapi mereka tidak menjawab sehingga jam 11 malam, lalu membuat laporan polis", katanya di sini, hari ini.


Beliau meminta orang ramai membantu mengesan anak kembarnya itu dan rakan mereka. 
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan