Zolkharnain Abidin
Menurut Guan Eng, 90 peratus orang miskin tegar di Pulau Pinang adalah Melayu. Mereka diberi bantuan tetapi bukan dengan duit judi Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang seperti yang didakwa oleh Umno.
Guan Eng kata, dia tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh kepada orang Islam. Maksudnya, kalau duit itu pernah diterima sekali pun, ia tidak disalurkan kepada orang Islam.Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang wujud semenjak entah bila. Pada zaman BN kuasai Pulau Pinang pun kelab itu sudah wujud. Umno pun tahu perkara itu
Di utara semenanjung, orang Islam tahu mengenai kelab itu semenjak mereka kenal ‘Kalendar Kuda’. Itulah kalendar yang tergantung di rumah, sekolah, pejabat bahkan kadang-kadang di masjid pun ada.
Sampai sekarang pun kalendar itu masih ada. Samada ada kalendar itu dikeluarkan oleh kelab itu atau bukan, yang mustahak kalendar itu tetap ada jadual judi lumba kudanya. Menariknya, aturan kalendar itu adalah tepat termasuk tarikh hariraya orang Islam.
Zaman BN perintah Pulau Pinang dulu pun ada orang miskin tegar juga. Ada Islam dan bukan Islam. BN juga memberi sumbangan kepada mereka. Persoalannya, BN ambi duit mana?
Semasa BN memerintah Pulau Pinang dulu, tidak pernahkah kerajaan BN menerima duit daripada kelab lumba kuda itu?
Mustahil tidak pernah. Kalau duit kelab itu diterima pada zaman ini, tentu juga diterima oleh kerajaan sebelum ini. Kalau sumbangan kelab itu pernah diterima kerajaan BN, kemana duit itu digunakan? Adakah duit itu ada akaun berasingan?
Adakah tidak mustahil, kerajaan terdahulu juga pernah memberi sumbangan duit judi kepada orang miskin tegar zaman itu? Mungkin pada masa itu Reezal belum sedar, atau belum warak lagi atau belum teringat nak kata apa-apa sebab Pulau Pinang diperintah BN.
Ketua Penerangan Pemuda Umno ini macam kucing. Dia warak di depan orang. Di depan Guan Eng dia bukan main warak lagi. Mengapa dia tidak sewarak itu di hadapan Najib atau Muhyiddin?
Pernah atau tidak Reezal mempersoalkan Najib yang ‘sebat’ duit saman ekor? Mengapa Reezal tidak mempersoalkan duit saman ekor yang dikutip oleh kerajaan Najib, halal atau haram? Atau, sekurang-kurangnya sybubhat. Orang warak tak ambil duit syubhat.
Orang yang kena saman ekor tidak pernah dibuktikan bersalah. Mereka adalah tertuduh. Tertuduh tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Beban pembuktian terletak kepada pendakwa bukan tertuduh. Semua orang asalnya adalah bersih dan bebas daripada kesalahan.
Dalam kes saman ekor, tertuduh didenda sebelum dibuktikan bersalah. Adakah Najib sedar bahawa mendenda orang yang belum terbukti bersalah adalah suatu kesalahan?
Kalau orang yang didenda itu tidak bersalah bagaimana? Najib patut tahu bahawa tersilap membebaskan orang bersalah adalah lebih baik daripada tersilap menghukum orang tidak bersalah.
Justeru, adakah duit saman ekor yang terkumpul berjuta ringgit itu adalah halal? Kalau duit itu digunakan untuk memberi gaji polis, adakah polis menerima duit halal? Reezal pernah persoalkan perkara ini?
Tentulah ia tidak akan dipersoalkan kerana perkara itu dibuat oleh Najib. Reezal tidak perlu warak di hadapan Najib kerana dia kenal siapa Najib. Bukan setakat Najib, Rosmah pun naik hairan kalau Reezal tunjuk warak di hadapan mereka.
Dia hanya perlu tunjuk warak di hadapan Guan Eng kerana kalau dia tidak tunjuk warak di hadapan Guan Eng, kepada siapa lagi dia nak tunjuk warak. Nak tunjuk warak depan si dia itu dan itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan