Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 27 Sept: Kartunis Zunar atau nama sebenarnya, Zulkifly Anwar ul Haque diminta melaporkan diri ke balai polis Sepang 7 Oktober ini selepas ditahan dan dibenarkan reman satu hari sahaja baru-baru ini.
Zunar yang kini berada di Bali ketika dihubungi Harakahdaily berkata, ketika dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman oleh polis, beliau meminta mahkamah agar polis menyiasat dahulu buku beliau sebelum beliau ditahan.
"Oleh kerana isu tangkapan saya kerana buku, saya meminta hakim mengarahkan polis menyiasat dahulu buku saya sebelum menahan saya," kata Zunar.
Ekoran itu, katanya, mahkamah hanya membenarkan beliau ditahan reman selama satu hari sahaja.
Selepas sehari, beliau dibebaskan oleh polis dan diminta melaporkan diri semula ke balai polis Sepang 7 Oktober ini.
Sementara itu, seluruh negara tertanya-tanya kenapa beliau ditahan polis menjelang pelancaran bukunya yang terbaru di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.
Rakan kartunis beliau juga melahirkan perasaan itu dengan membuat kartun khas untuk Zunar. (gambar)
Mereka juga mengutuk penahanan itu dan menghasilkan karya untuk membela Zunar.
Turut mengutuk tindakan kerajaan itu adalah badan-badan bukan kerajaan.
"Tindakan kerajaan ini adalah satu perlanggaran terhadap hak-hak asasi menusia. Jika kerajaan Melaysia mahu dilihat sebagai sebuah negara yang moden, jangan ajar kita apa yang harus dibaca dan ditulis," kata Josh Hong dari 1Muted Malaysia.
Faizal Mustafa dari Bersih 2.0 pula berkata, daripada menahan Zunar lebih baik kerajaan menganjurkan debat dan dialog dalam mencari persefahaman.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque bermalam di ibu pejabat polis daerah Sepang selepas ditahan polis mengikut seksyen 4 (1) Akta Hasutan pada 24 September lalu.
Sebelum itu, pada jam 4 petang tadi, polis menggelidah premis Sepakat Efektif Sdn Bhd yang dimiliki Zunar dan merampas kira-kira 67 naskhah terbaru buku Cartoon-O-Phobia yang dijadualkan dilancarkan pada malamnya.
Menurut Zunar, pejabatnya yang juga menempatkan Kafe Kartun diserbu oleh sepuluh anggota polis yang diketuai oleh ASP Ari Krishna daripada balai polis Brickfields.
Setelah ditahan sehari semalam, polis membebaskan Zunar lewat petang 25 September.
Menurut peguamnya Latheefa Koya, Zunar ditahan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sepang.
Ketika dihubungi, beliau turut mendedahkan bahawa setakat ini polis masih belum merekodkan kenyataan kartunis popular itu walaupun telah menahannya sejak jam 4 petang semalam di pejabatnya di Brickfields.
"Mereka juga masih flip-flop (berdolak-dalik) sama ada mahu menyiasatnya bawa akta penerbitan atau akta mesin cetak dan penerbitan.
Sementara itu, polis 'melawat' pejabat Malaysiakini di Bangsar Utama petang Sabtu lepas mencari buku yang dianggap kontroversi tersebut.
Bagaimanapun, dalam kunjungan pada jam 3.45 petang itu, setelah memeriksa stor buku Malaysiakini, tiada sebarang barang diambil.
Polis juga merekodkan kenyataan Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan kira-kira 45 minit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan