3 penjuru di Batu Sapi, satu lawan satu di Galas


9 - 10am - Calon kemukakan borang masing-masing
10 - 11am - Tempoh bantah (jika ada)
11am - 12 tengahari - Pegawai Pilihan Raya menentukan bantahan

LAPORAN LANGSUNG Proses penamaan bermula jam 9 pagi bagi pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi di Sabah dan DUN Galas di Kelantan.
8.00am - Di Batu Sapi, lalulintas sesak di sekitar dewan masyarakat Sandakan, yang menjadi pusat penamaan calon kerana sebelah laluan jalan ditutup.

Penyokong BN yang membawa bendera berhimpun di depan dewan. Tempat penyokong BN berhimpun ialah di Padang Besar Sandakan, kira-kira 500 meter dari pusat penamaan calon.
Di Galas, lalulintas lancar. Cuaca juga baik. Ratusan penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di depan Masjid Tengku Faiz Petra, yang terletak tidak jatuh dari pusat penamaan calon.

Perarakan ke pusat penamaan calon akan bermula selepas solat hajat.
9.02am: Pusat penamaan calon di Batu Sapi dibuka dengan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya bersedia menerima kertas pencalonan daripada mereka yang berhasrat bertanding.
9.05am: Di Galas, calon BN Abdul Aziz Yusof tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi Setiausaha Agung BN Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib Presiden MCA Datuk Dr Ng Yen Yen dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Turut mengiringi Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

9.06am:
 Di Batu Sapi, calon PKR Ansari Abdullah adalah yang pertama tiba untuk menyerahkan borang penamaan. Sambil tersenyum, beliau melambai kepada penyokongnya sebelum menuju ke kaunter pencalonan.

Seminit kemudian, ketua SAPP, Datuk Yong Teck Lee pula memasuki dewan untuk menyerahkan borangnya.
9.10am: Calon PBS yang mewakili BN Linda Tsen menyerahkan borang pencalonannya. Semua ketiga-tiga calon utama kemudiannya bersalaman.

9.11am:
 Di Galas, penyokong Pakatan yang dianggarkan kira-kira 1,000 orang mula berarak dari masjid dengan diketuai oleh naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang diiringi pemimpin Pakatan yang lain.

Sebelum itu, dengan diimamkan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mereka menunaikan solat hajat di masjid berkenaan.

Kehadiran mereka disahut dengan takbir oleh penyokong di sepanjang jalan berkenaan menuju ke pusat penamaan calon.
9.19am: Penyokong Pakatan di Galas dihalang oleh sekatan, namun mereka terus berselawat dan melaungkan takbir.
9.22am: Di Batu Sapi, semua tiga calon utama - Ansari Abdullah (PKR), Yong Teck Lee (SAPP) dan Linda Tsen (BN-PBS) - telah mengemukakan borang masing-masing dan menikmati minuman ringan. Masih belum ada calon Bebas yang tampil mengemukakan borang pencalonan meskipun sebelum ini SPR melaporkan lebih 27 borang pencalonan sudah dibeli.
Di Galas, berlaku ketegangan seketika apabila sekatan berkenaan menyukarkan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad yang cuba ke pusat penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Daerah Gua
Musang. Ia diburukkan lagi dengan ribuan penyokong yang membanjiri kawasan sekitar. Polis kemudiannya menggunakan pembesar suara meminta orang ramai supaya memberi laluan kepada Dr Zulkefli.
9.23am: Dr Zulkefli Mohamad akhirnya berjaya melepasi sekatan polis. Beliau diiringi oleh presiden PAS - Datuk Seri Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS - Nasharudin Mat Isa, naib presiden PKR - Azmin Ali, Menteri Besar Selangor - Tan Sri Khalid Ibrahim dan supremo DAP supremo Lim Kit Siang.

9.30am: Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad memasuki dewan.
9.39am: Penyokong PAS dan beberapa pemimpin Pakatan cuba memasuki dewan penamaan calon, tetapi polis hanya membenarkan mereka yang mempunyai pas sahaja masuk. Antara mereka yang tidak dibenarkan masuk ialah ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

9.44am: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim keluar dari kawasan VIP dan membuat ucapan ringkas kepada penyokong Pakatan. Beliau menggesa mereka bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon Pakatan pada 4 November ini.

9.48am: Di Batu Sapi, keadaan lebih tenteram di luar pusat penamaan calon. Penyokong dan pemimpin ketiga-tiga parti yang bertanding bergaul dengan satu sama lain tanpa sebarang ketegangan.
10am: Pegawai pilihan raya SPR di Batu Sapi memaklumkan bahawa tempoh penamaan calon telah berakhir.
Hanya tiga calon mengemukakan borang mereka.
Mereka adalahAnsari Abdullah(PKR), Yong Teck Lee (SAPP) danLinda Tsen (BN-PBS).
Nama mereka dipamerkan di papan kenyataan untuk semua pihak membuat bantahanan jika ada. Tempoh masa untuk berbuat demikian adalah dari 10 hingga 11 pagi.
Di Galas, pegawai pilihan raya juga membuat pengumuman yang sama. Katanya, hanya dua calon yang telah mengemukakan borang mereka.
Mereka adalah - Dr Zulkefli Mohamad (PAS) dan Abdul Aziz Yusof(BN-Umno).
10.10am: Di Batu Sapi, penyokong ketiga-tiga parti memulakan kempen dengan melaungkan slogan dan kata-kata vsemangat masing-masing.

Yang paling lantang adalah, penyokong Pakatan dengan jeritan "Batu Sapi, kita tawan" dan "Reformasi", menenggelamkan teraiakan oleh pihak BN, yang kebanyakannya mereka terdiri daripada ahli Puteri Umno.

Penyokong SAPP pula dilihat kurang memberi reaksi dalam 'perang mulut' itu dan lebih berminat mengibarkan bendera parti sahaja. 

10.14am: Di Galas, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad membuat ucapan ringkas dengan laungan takbir oleh penyokong Pakatan. BN pula membalas dengan paluan gendang mereka.
Membuat ucapanpolitik serta membawa peralatan muzik adalah antara perkara yang dilarang semasa penamaan calon oleh SPR.

Polis kemudiannya mengarahkan Khalid berhenti membuat ucapan kerana tempoh berkempen belum bermula. Beliau mematuhi arahan berkenaan, namun paluan gendang daripada BN dibiarkan terus bergema.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan