Bakal pengantin hilang

Sabariah menunjukkan gambar anaknya, Rozaliya yang hilang di Kemaman semalam.
KEMAMAN: Seorang gadis, Rozaliya Mat Lazim (gambar) yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 12 November depan hilang ketika keluar membeli barang-barang persiapan untuk hari bahagianya di Kuantan pada 13 Oktober lalu.
Keluarga mangsa mendakwa, Rozaliya, 20, hilang selepas gadis itu menghantar dua mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada tunangnya berbunyi 'ada dua lelaki sedang mengekori' dan 'abang datang cepat, saya takut'.
Ibu mangsa, Sabariah Mansor, 42, memberitahu, anaknya dijemput tunangnya, Mohd. Helmi Mohd. Nor, 24, dengan sebuah kereta kira-kira pukul 11 pagi dari rumahnya di Bandar Baru Cheneh dekat sini pada Rabu lalu.
"Tetapi kira-kira pukul 6 petang saya dihubungi Helmi menyatakan anak saya hilang," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini semalam.
Menurut Sabariah, Mohd. Helmi yang bekerja sebagai pegawai Felda memberitahu dia meninggalkan Rozaliya di pasar raya Mydin, Kuantan sejurus tiba di sana kerana terpaksa kembali ke pejabatnya di Bandar Baru Cheneh ekoran ada urusan kerja yang perlu diselesaikan segera.
"Ketika Mohd. Helmi baru saja tiba di pejabatnya dia dapat dua SMS daripada anak saya dan dia cuba menghubungi anak saya tetapi gagal menyebabkan dia pergi semula ke Kuantan kira-kira pukul 3 petang," katanya sambil menyatakan anaknya bertunang pada bulan Februari lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan