Terkejut.Itulah yang boleh penulis katakan mengenai kepulangan semula Ayah Pin di Besut.Dia yang dikatakan telah lari dan bersembunyi di Selatan Thailand telah kembali bersama pengikutnya di Kampung Batu 13,Pasir Akar,Besut.Apa yang menariknya adalah mengenai dakwaan Ayah Pin bahawa pihak berkuasa negeri tidak menahan beliau kerana tidak mengancam keselamatan negara.
Adakah benar dakwaan Ayah Pin itu?Jika benar,nampaknya malanglah penduduk negeri Terengganu.Pihak berkuasa merujuk kepada siapa?Mungkin polis dan MAIDAM.Jika benar pihak berkuasa mengatakan Ayah Pin tidak akan mengancam keselamatan negara,tekaan itu silap.Apakah kita tidak takut akan bala yang bakal ditimpa Allah sekiranya kita membiarkan perkara mungkar diteruskan di tempat kita?Mungkin Allah akan menurunkan satu bentuk banjir yang lebih hebat daripada bah merah dahulu.Apapun,penulis tidak melatah.Dakwaan Ayah Pin itu tidak boleh diterima.Mungkin dia berbohong.Dan tidak menjadi kudis untuk berbohong kepada orang yang murtad sepertinya.
Kita abaikan dakwaan Ayah Pin tesebut.Itu bukanlah kejutan.Apa yang mengejutkan adalah bagaimana seorang wartawan Berita Harian boleh bertemu dengannya yang diburu hampir lima tahun!Bagi penulis,wartawan itu boleh didakwa kerana melindungi orang yang diburu polis.Mengapa wartawan itu tidak melaporkan kepada polis tentang Ayah Pin yang telah berada di Besut.Mustahil wartawan tersebut secara kebetulan berada di Pasir Akar dan terjumpa Ayah Pin.Tentulah sudah ada risikan dibuat.Mengapa beliau tidak melaporkan kepada polis?Atau benarkah kerajaan sudah tidak kisah dengan Ayah Pin?Sedangkan sampai kini kerajaan menghentam komunisme,mengapa Ayahpinisme dibiarkan berleluasa?Ahmad Said tidak takutkah Terengganu diperintah kerajaan langit?
Penulis juga hairan,adakah di kawasan Hulu Besut tiada langsung polis yang bertugas sehinggakan Ayah Pin boleh kembali ke rumah beliau.Kalau sekadar diam di rumahnya penulis masih boleh terima,malah ini sudah sampai satu tahap di mana dia boleh mengadakan ritual bersama pengikutnya!Itu belum dipersoalkan lagi bagaimana dia boleh tembus sempadan negara.Atau mungkin dia boleh ghaib?Bagi penulis,wartawan tersebut perlu diambil tindakan kerana perkara itu berlaku pada hari Isnin yang lalu tetapi mengapa berita ini baru tersebar?Mengapa polis tidak membuat tangkapan segera ke atas Ayah Pin?
Berikut penulis siarkan semula laporan Berita Harian tersebut:
AYAH PIN BUAT HAL LAGI
2010/10/07
Pemimpin ajaran sesat Kerajaan Langit kembali aktif
JERTIH: Ayah Pin atau Arifin Mohamad, pemimpin ajaran sesat Kerajaan Langit yang diharamkan pada 2005, kembali meneruskan kegiatannya di perkampungan kumpulan itu di Kampung Batu 13, Pasir Akar, Hulu Besut, Besut.
Ayah Pin yang kelihatan uzur kerana menghidap penyakit kencing manis, ditemui wakil Berita Harian ketika menyertai seorang sau-dara terdekat ke perkampungan berkenaan pada Isnin lalu.
Mereka berkumpul di warung berkenaan untuk mendengar ajaran Ayah Pin.
Antara yang hadir adalah pengikutnya dari Selangor, Pahang serta Mersing dan Batu Pahat, Johor, yang datang menaiki pelbagai kenderaan mewah termasuk Toyota Wish dan Mitsubishi Grandis.
Pengikut ajaran itu termasuk peguam, pegawai bank, guru serta penduduk Orang Asli dari Rompin.
Sejurus berdepan Ayah Pin yang hanya berseluar pendek dan memakai singlet putih, duduk di sebuah kerusi dalam warung terbabit sambil menghisap rokok. Semua pengikutnya mengangkat sembah sebanyak tiga kali sebelum melutut dan mencium tangannya.
Ketika pertemuan itu, Ayah Pin turut menceritakan pengalamannya naik ke langit hingga aras ketujuh untuk meninjau keadaan syurga dan neraka serta mendakwa dia turut menyertai sesi mesyuarat dengan malaikat, jin dan iblis sebelum jin dan iblis kembali ke bumi, manakala malaikat kekal di langit sejurus selepas mesyuarat berkenaan tamat.
“Saya dilantik sebagai wakil kerajaan langit untuk memantau keadaan di atas dunia dan ditugaskan supaya memastikan ia selamat dan tiada sebarang sengketa sesama sendiri, baik yang beragama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.
“Semua agama di muka bumi ini adalah sama. Semua pengikut hendaklah sentiasa beramal ke arah kebaikan, mencari bekalan sebelum mati agar sentiasa berada dalam keselesaan di akhirat. Hak orang jangan diganggu, jangan memfitnah orang dan carilah jalan damai sepanjang masa,” katanya.
Ayah Pin turut mendakwa dia tidak ditahan pihak berkuasa di Terengganu kerana tidak mengancam keselamatan negara.
Dia berkata pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadapnya pada bila-bila masa kerana dia tinggal di kampung itu.
Selepas selesai majlis itu, semua pengikutnya mengangkat sembah tiga kali dan mencium tangan Ayah Pin sebelum beredar. Ada antara mereka menyampaikan sumbangan kewangan kepada Ayah Pin.
Difahamkan, sekurang-kurangnya empat rumah disewakan kepada pengikut ajaran terbabit yang datang dari jauh untuk bermalam di kawasan itu.
Pada 2005, pihak berkuasa memusnahkan perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin yang dipenuhi pelbagai monumen termasuk Bahtera Nabi Noh, Telaga Zam-Zam dan Kendi Gergasi.
Namun, ketika itu Ayah Pin dikatakan menghilangkan diri tetapi beberapa pengikutnya termasuk isterinya ditahan dan didakwa di mahkamah.
LAIN-LAIN ARTIKEL SEMASA DI http://propartiislammalaysia.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan