Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 23 Okt: Cadangan pemangku Ketua Umno Bahagian Titiwangsa supaya Menara Warisan 100 tingkat dibina di Kampung Baru bakal mengusutkan lagi keadaan yang sudah sedia mengelirukan penduduk.
Apatah lagi pmbinaan Menara Warisan tersebut ditolak oleh rakyat umumnya, kata anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali kepada Harakahdaily.
Ini dibuktikan dengan sokongan 100,000 orang terhadap 'fanpage' bantah Menara Warisan dalam masa 6 hari sahaja berbanding dengan yang menyokong tidak sampai 400 orang.
"Apatah lagi isu Kampung Baru yang menjadi kebimbangan penduduk adalah berkenaan Draf Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru yang sehingga kini belum lagi dikemukakan kepada pemilik hartanah Kampung Baru sebagaimana yang dijanjikan," katanya.
Menurut beliau, rang undang-undang tersebut dikatakan akan dikemukakan di parlimen sesi ini tetapi para pemilik hartanah Kampung Baru langsung tidak diberi peluang mendengar atau melihat dan mengemukakan pandangan mengenainya.
"Tiba-tiba pemangku Ketua Umno Titiwangsa menyebut tentang cadangan nak bina Menara Warisan di Kampung Baru. Di manakah keutamaan beliau?" soalnya.
Lo' Lo' juga mempersoalkan, adakah pemimpin Umno itu hanya melihat lubuk emas RM5 bilion projek tersebut sehingga lupa tentang pembelaan hak-hak penduduk Kampung Baru dan memastikan mereka tidak dipinggirkan dari proses membuat keputusan dalam isu hartanah warisan Melayu ini.
Bagi beliau, daripada mencadangkan membina Menara Warisan berharga RM5bilion itu, lebih baik PNB menggunakan dana tersebut untuk membina keseluruhan Kampung Baru.
"Ini masalah yang terbentang depan mata yang belum diselesaikan," katanya.
Pembangunan Kampung Baru juga akan menjana ekonomi, menaikkan nilai hartanah Kampung Baru dan memacu penglibtan Melayu dalam kerancakan pembangunan Kuala Lumpur, katanya.
Kerajaan, katanya, mesti meletakkan keutamaan di tempat yang betul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan