PETALING JAYA, 16 OKT: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengumumkan kesediaannya untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden PKR, dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, di Tropicana, petang tadi.
Beliau yang diiringi oleh suami dan para penyokongnya, tiba kira-kira jam 3.30 petang bagi menyerahkan borang pendaftaran di kaunter Urusetia Pemilihan PKR 2010.
"Dengan lafaz 'Bismillah', saya mengumumkan pencalonan rasmi saya, bagi jawatan Naib Presiden PKR," umum Izzah sambil diiringi tepukan para penyokongnya.
Ketika ditanya sebab pengundurannya dalam persaingan Timbalan Presiden, Izzah menjelaskan bahawa keputusan bagi sesuatu persaingan yang bakal disertainya, hanya akan terjawab apabila borang pendaftaran pemilihan dihantar.
"Bagaimana saya ingin bertanding bagi Timbalan Presiden, kerana hari ini barulah proses pencalonan secara rasmi dilakukan? Maka, saya akan mengumumkan dan memberi jawapan bila tiba masanya. Inilah saatnya secara jelas menyatakan dan memberikan pencalonan rasmi saya seagai Naib Presiden," jelasnya.
Dalam pada itu, Izzah turut mengucapkan terima kasih kepada Cabang-cabang dari seluruh negara yang mencadangkan namanya untuk dipilih bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.
"Tidak kira apa pun jawatan yang kita tandingi, yang penting adalah keikhlasan kita di dalam perjuangan. Dan saya akan terus membudayakan dan mempromosi politik harapan dan pembebasan demi menjauhkan negara Malaysia ini dari politik kebencian dan perkauman," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan