SALWA SHA’ARI
KLANG: Seorang pekerja ladang tergamak mengugut mahu mencabut tayar motosikal milik adik angkatnya supaya menuruti permintaannya ke ladang kelapa sawit sebelum mangsa dirogol, dua tahun lalu.
Hamiruddin Abd Haris, 27, menerima balasan atas perbuatan terkutuk itu selepas dia diarahkan menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula Jumaat, selepas Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Yong Zarida Sazali menerima pengakuan salahnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia 15 tahun 7 bulan, pada pukul 3 petang, 18 Disember 2008 di dalam kereta Proton Satria, di sebuah ladang kepala sawit yang terletak di Sabak Bernam, dekat sini.
Pendakwaan terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman terhadapnya dapat diringankan bagi membolehkan dia menjaga ayah yang sakit.
“Saya berasal dari keluarga yang susah dan ayah juga tidak bekerja. Saya menanggung keluarga dengan pendapatan bulanan RM900. Saya juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan