KUALA LUMPUR, 21 NOV: Media arus perdana hari ini memberi liputan meluas kepada rencana seorang penulis barat dengan tajuk Anwar bukan Aung San Suu Kyi.
Tulisan Rachel Motte dalam blog New Ledger diberikan liputan meluas oleh Bernama, Berita Harian, Utusan Malaysia dan media lain. Namun fakta yang disembunyikan ialah tuduhan-tuduhan melulu di dunia siber bahawa Motte adalah penulis upahan APCO.
Ini bukan kali pertama beliau mengecam Anwar atau memuji kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, malah itulah agendanya sebelum ini menerusi artikel seperti The Reversal of Anwar Ibrahim.
Semua maklum, dan seperti yang sahkan di Parlimen, APCO ialah perunding yang diupah oleh kerajaan pimpinan Najib dengan kos mencecah lebih RM78 juta ringgit, untuk memulihkan imej Perdana Menteri yang tercalar sekian lama.
Selain mengupah ramai bekas pegawai tertinggi rejim Zionis, APCO diberikan amanah untuk mengatur liputan media yang memuji Najib dan isteri serta membidas Anwar dalam usaha untuk memintas sokongan Barat terhadap Ketua Pembangkang itu.
Dalam artikel terbarunya, Motte berbohong apabila memberi gambaran kononnya Anwar membandingkan diri beliau dengan pemimpin pro demoraksi Aung San Sun Kyi.
Anwar tidak pernah membandingkan dirinya dengan pengorbanan yang dilalui oleh ikon Myanmar itu.
Untuk berbuat demikan adalah mengundang "hara kiri" politik atau membunuh diri secara politik dan Anwar lebih jauh lebih bijak dan matang dari itu.
Mesej yang dibawa oleh Anwar ketika lawatan beliau di Australia amat mudah untuk di faham (kecuali mungkin bagi Apco, Motta dan media arus perdana) iaitu :
Dalam mengecam kekejaman di Myanmar, kerajaan-kerajaan seperti Australia digesa juga turut peka terhadap keadaan sebenar di Malaysia, di mana pencabulan asas-asas demokrasi dan hak asasi rakyat berlaku saban kali.
Anwar berkata apa yang diminta beliau bukanlah campurtangan langsung Australia tetapi sekadar mahukan negara itu terus memberi perhatian kepada isu-isu sejagat seperti keadilan dan hak asasi.
Seseorang tidak perlu menjadi pakar hal ehwal Malaysia untuk mengesahkan kebenaran mesej Anwar.
Kes Teoh Beng Hock, kematian ratusan orang dalam lokap polis, sistem kehakiman yang tidak berwibawa, rampasan kuasa di Perak yang dihalalkan oleh mahkamah adalah hanya secebis realiti di Malaysia.
Motte mendakwa Anwar tidak boleh membandingkan dirinya dengan penahanan Suu Kyi kerana beliau diberi perbicaraan, mempunyai pasukan peguam, akses kepada media tempatan dan antarabangsa serta mempunyai parti politiknya sendiri.
Anehnya hujah Motte ini begitu mirip dengan alasan yang diberi oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad ketika Anwar menghadapi perbicaraan konspirasi pertama selepas beliau dipecat daripada kerajaan pada tahun 1998.
Adalah membazir masa untuk menghuraikan kewibawaan perbicaraan yang dilalui oleh Anwar ketika itu yang berakhir dengan beliau dipenjarakan selama lapan tahun.
Cukup sekadar mengingatkan bahawa perbicaraan itu menjadikan Malaysia bahan ketawa antarabangsa dan adalah detik hitam dalam sejarah perundangan kita.
Tidak ada banyak yang berbeza pada perbicaraan Anwar kali ini. Seperti 1998, masih berlaku pengadu dan Perdana Menteri berjumpa sebelum tuduhan dikenakan terhadap Anwar.
Tidak apa jika Anwar dinafikan kenyataan polis dan bahan bukti untuk membolehkan beliau membuat pembelaan rapi. Tidak apa jika pengadu dan pendakwaraya menjalin hubungan sulit.
Tidak apa jika laporan awal doktor mengatakan tidak ada bukti pengadu diliwat.
Semua maklumat ini, dan banyak lagi dilaporkan dalam semua media bebas. Tentunya fakta-fakta ini ada dalam pengetahuan Motte dan Apco.
Apco dan Motte harus ditanya harga maruah diri mereka.
Cubaan untuk mengelirukan rakyat dengan sengaja menyalah lapor fakta demi mencantas seseorang harus dikutuk sebagai satu bentuk pencabulan jijik terhadap kebebasan media.
-tvsnews-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan