KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis berpangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di hari ini atas tuduhan merompak seorang juruteknologi perubatan, tahun lepas.
ASP Che Anua Che Omar, 54, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit, kesemua bernilai RM10,000, milik Ahmad Shabri Mohd Halami, 29.
Che Anua, dari Seri Gombak di sini, didakwa melakukan kesalahan itu di No 44-3, Blok B, Rampai Court, Wangsa Maju, di sini, pada pukul 9 malam, 5 Mei 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Abu Hassan Ramli menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.
Che Anua, yang tidak diwakili peguam, merayu supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarganya.
"Saya tidak mempunyai wang yang banyak kerana isteri tidak bekerja dan saya perlu menanggung empat anak di samping membiayai rawatan di Institut Jantung Negara bagi mengubati penyakit jantung yang saya hidapi," katanya.
Hakim Datuk Jagjit Singh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes.
-Bernama-
Dah tahu awak tu sakit jantong....nak merompak jugak....polis oh polis!!!
BalasPadam