Bangkit Segera Hadapi PRU-13 : Idris Ahmad


KUALA LUMPUR, 6 NOV: PAS menganggap keputusan di Galas dan di Parlimen Batu Sapi sebagai satu loceng amaran untuk terus bangkit dan muhasabah terhadap kerja parti bagi menghadapi Pilihanraya ke 13 ujar Ketua Penerangan PAS Pusat  Ustaz Idris Ahmad.

Dalam satu kenyataan medianya, PAS menerima keputusan di Galas sebagai satu adat perlawanan. Pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi merupakan satu siri pilihanraya yang menampakkan ketempangan demokrasi dan pencabulan media terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Menurut Idris keputusan di Galas bukan satu yang mengejutkan kerana, sebelum ini pilihanraya kecil Manik Urai yang merupakan kubu kuat PAS pun,  PAS hampir tewas dengan majoriti 65 sahaja.  Begitu juga sebelumnya ketika PRK Pengkalan Pasir merupakan kubu kuat PAS tewas dan dapat tawan kembali dalam PRU 12.

"Insya Allah PAS akan membuat muhasabah ke dalam dengan melihat masalah-masalah yang perlu diperbaiki. Sebagai sebuah parti Islam kekalahan ini akan memberi satu pengajaran yang berguna, kerana setiap musibah ada hikmahnya. Kemungkinan Allah tidak mahu kita leka dengan kemenangan cemerlang PRU 12 sehingga menimpa kekalahan yang mengejutkan dalam PRU 13."katanya.

Kata Idris lagi keputusan pilihanraya di Galas, bukan bererti untuk menjadi malas berjuang, sebaliknya mesti bersemangat untuk menggalas amanah ummah di negara ini untuk menggantikan Umno sebagai wadah perjuangan orang Melayu di negara ini. PAS  tidak akan membiarkan rakyat menjadi mangsa kezaliman Umno terhadap rakyat sehingga kualiti hidup rakyat semakin teruk.

Ujar Idris lagi,"Kenaikan harga barang, jenayah bunuh meningkat, perzinaan dan  buang bayi meningkat.  PAS mesti berusaha untuk bekerja dengan lebih kuat."

"Kita perlu sekat kemenangan mereka, dengan kita mesti bekerja kuat untuk menangkis fitnah dan menerangkan wadah perjuangan kepada masyarakat. Sudah cukup mandat yang mereka perolehi selama 53 tahun menyebabkan anak cucu kita terutamanya yang akan menanggung beban."katanya.

Tambah Idris kegigihan PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat yang bekerja dalam pilihanraya tanpa diupah adalah merupakan satu kekuatan, berbanding dengan Umno. Mereka hanya menumpang tuah jentera kerajaan, jika diharapkan jentera Umno maka sudah lama Umno akan berkubur.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan