PHNOM PENH, Kemboja: Ramai saudara-mara berkumpul di beberapa tempat menyimpan mayat di sini selepas sekurang-kurangnya 380 orang terbunuh manakala 750 lagi cedera dalam tragedi rempuhan di sebuah jambatan yang menghubungkan Pulau Berlian dengan tanah besar Kemboja pada malam kelmarin.
Pulau Berlian merupakan destinasi pelancongan popular di Kemboja.
Tragedi rempuhan itu berlaku ketika jutaan penduduk menggunakan jambatan tersebut untuk ke Pulau Berlian yang menempatkan gerai dan konsert bagi meraikan pesta tamat musim hujan di Kemboja.
"Angka kematian dijangka terus meningkat," kata jurucakap kerajaan, Phay Siphan.
Seorang lagi jurucakap kerajaan, Khieu Kanharith berkata, kejadian berlaku disebabkan khabar angin dalam kalangan pengunjung bahawa jambatan itu tidak stabil.
"Justeru, panik berlaku. Jambatan itu terlalu padat menyebabkan mereka (pengunjung) tiada tempat untuk melarikan diri," katanya.
Insiden berlaku ketika orang ramai berasak-rasak meninggalkan Pulau Berlian manakala polis dan orang ramai menyatakan, jambatan kecil itu tidak dapat menampung bilangan orang yang berulang alik ke pulau tersebut. Sebahagian orang terjun dari jambatan semasa insiden berasak-asak untuk menyelamatkan diri.
Kanharith berkata, mangsa-mangsa mati disebabkan sesak nafas dan kecederaan dalaman manakala dua pertiga daripada jumlah yang maut ialah wanita.
Sementara itu, Perdana Menteri Hun Sen menyifatkan tragedi itu sebagai yang terburuk sejak kezaliman rejim Khmer Rouge di Kemboja dari 1975 hingga 1979. Beliau mengisytiharkan esok sebagai hari berkabung.
-Agensi/kosmo-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan