» Tembak Penjual Mi, Menteri Enggan Ulas




KUALA LUMPUR, 2 DIS: Kementerian Dalam Negeri hari ini enggan mengulas isu penjual mi, Ho Chei Hang, yang nyaris terbunuh selepas ditembak oleh anggota polis berpakaian preman berhampiran rumahnya di Kepong, 16 November lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Hussein dalam sidang media berkata bagi isu yang melibatkan kes yang sensasi, kementeriannya akan berbincang dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu bagi melantik jurucakap khas bagi menjawab isu tersebut.

"Saya tidak mahu kes-kes sensasi ini menengelamkan usaha yang lebih besar kita.

"Jadi...mungkin ada jurucakap khas untuk menjawab perkara-perkara yang terperinci seperti ini supaya pihak PDRM akan bertanggungjawab untuk memastikan siasatan telus dan apa yang dikeluarkan tidak menjejaskan siasatan," ujar beliau kepada pemberita, di Parlimen.

Sebelum itu, Ho,32, menggesa supaya anggota polis yang menembaknya disiasat untuk cubaan membunuh dan lain-lain penyalahgunaankuasa tanpa sebarang perlindungan atau layanan istimewa.

Beliau membuat gesaan itu di dalam memorandum yang diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di ibupejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur , semalam.

Dalam kejadian tersebut, Ho menceritakan bagaimana dua lelaki yang tidak dikenalinya tiba-tiba menjerit kepadanya ketika dia sedang memandu berhampiran rumahnya pada kira-kira jam 6 petang, selepas menemui seorang kawan.

Ketika memusing kepala Ho berkata, individu tersebut mengeluarkan pistol lalu terus menembaknya.

Ho yang tercedera hilang kawalan keretanya lalu melanggar tembok rumah di depannya.

Selepas pelanggaran, katanya, pintu kereta terbuka dan dia tercampak ke dalam longkang tepi rumah tersebut.

Menurut Ho lagi, dia menggunakan seluruh tenaganya untuk memanjat keluar dari longkang, dan beberapa lelaki menghala muncung pistol ke kepalanya.

Ho, yang terpaksa dimasukkan selama 11 hari di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur dibenarkan pulang Isnin lalu meskipun sebutir lagi peluru ditubuhnya masih belum dikeluarkan.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan