DUNGUN: Seorang guru sekolah rendah berdepan detik menakutkan apabila dikurung dalam rumah, dibelasah teruk dan diugut dengan pisau oleh bapa muridnya, baru-baru ini.
Berikutan serangan itu, guru tersebut membuat laporan polis dan merancang menyaman bapa muridnya itu.
Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati bapa terbabit apabila guru itu, Azahar Besar, 43, dikatakan menampar anak lelakinya kerana menunjukkan isyarat lucah.
Menceritakan detik hitam itu, guru yang sudah enam tahun mengajar di sekolah berkenaan berkata, kejadian yang tidak disengajakan itu berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari Ahad lalu.
Katanya, murid Tahun Dua itu bersikap biadab dengan menunjukkan isyarat lucah ketika berada di dalam makmal komputer.
“Melihat perbuatannya itu, saya memanggil murid tersebut dan menyoalnya, tetapi dia tidak mengaku menunjuk isyarat lucah.
“Apabila dia terus menafikannya setelah saya bertanya beberapa kali, saya menampar pipinya dengan perlahan. Saya fikir ia tidak menyakitkan pun. Saya buat begitu sebagai pengajaran,” katanya.
Azahar berkata, keesokannya, ketika sedang memandu kenderaan hendak pulang ke rumah, sebuah motosikal menghimpit keretanya dekat persimpangan jalan tidak jauh dari sekolah itu dan penunggangnya mengarahkannya menurunkan cermin tingkap kerana hendak berbincang sesuatu.
Azahar berkata dia tidak menyangka sebarang kejadian luar dugaan, lalu memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan bertanya kepada lelaki itu apa masalahnya. Anak Azahar yang belajar di sekolah itu turut berada dalam kereta ketika itu.
“Dia ajak saya berbincang di rumahnya (di Kampung Balik Bukit). Katanya ada hal penting. Saya tidak mengesyaki apa-apa dan ikut sahaja kehendaknya. Bagaimanapun, sebaik saya masuk ke rumahnya, dia terus menutup pintu jeriji besi.
“Ketika itulah episod panas bermula. Murid yang saya tampar (sehari sebelum itu), muncul dan bapanya terus bertanya kenapa saya menampar anaknya,” katanya yang kelihatan masih trauma dengan kejadian itu.
Azahar berkata, ini diikuti pertikaman lidah antaranya dan bapa murid itu, sebelum lelaki terbabit melepaskan satu tumbukan yang mencederakan mukanya.
Katanya, dalam keadaan itu dia masih cuba mententeramkan bapa murid itu, tetapi lelaki itu terus naik berang.
Katanya seorang lagi lelaki, dipercayai bapa saudara murid itu, keluar dan turut membelasahnya.
Azahar mendakwa, bapa murid itu juga mengacukan pisau ke arahnya dan ugut hendak mencederakannya.
“Dalam keadaan kelam kabut itu, isterinya cuba menghalang tindakannya yang seolah-olah dirasuk syaitan itu, namun dia tidak mengendahkannya dan terus memukul saya.
“Setelah keadaan reda, saya memohon maaf kepadanya atas perbuatan saya, lalu meninggalkan rumahnya untuk pulang. Saya membuat laporan di Balai Polis Dungun,” kata bapa kepada enam anak itu.
Azahar berkata, sebelum membuat laporan polis, dia turut berbincang dengan guru besar, wakil Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) serta guru-guru lain.
“Pada mulanya saya tidak mahu panjangkan perkara ini, tetapi kerana bimbang dengan keselamatan, lebih-lebih lagi dengan berlakunya kejadian menakutkan tempoh hari, saya rasa lebih baik saya serahkan kes ini kepada polis,” katanya.
Beliau juga bercadang untuk saman bapa murid terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan menerima laporan daripada guru sekolah rendah itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan.
-sinarharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan