Naib Presiden PAS Salahudin Ayub berkata pilihan raya kecil DUN Tenang merupakan pentas terbaik untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat dengan ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai program 100 hari sekiranya menawan Putrajaya.
Menyifatkan debat itu sebagai "Debat Agung", Salahudin berkata Najib tidak wajar menolak cabaran tersebut sekiranya beliau "konsisten, berani dan tidak berdolak-dalik dalam komitmen beliau untuk menyaksikan rakyat diberikan maklumat dan informasi yang telus".
"(Saya) mengulangi atas nama Pakatan Rakyat, Najib wajar menerima tawaran ini.
"Tidak ada hujah beliau menolak cabaran ini. Malah dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat bersetuju, jika beliau (Najib) takut untuk menggunakan perkataan debat, pentas yang sama boleh diubah menjadi diskusi ilmiah.
"(Ini kerana) rakyat perlu diberikan kefahaman. Kita yakin pemimpin Pakatan Rakyat mampu menjelaskan apa hujah dan substancenya," katanya dalam satu sidang media di bilik operasi PAS di Tenang pagi ini.
Salahudin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata tawaran debat itu dibuat sekali lagi ekoran pelbagai kecaman dan tuduhan jahat termasuk dakwaan negara akan bankrap seandainya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.
Sebelum ini Anwar mencabar Najib yang juga presiden Umno untuk berdebat mengenai cadangan Pakatan Rakyat itu, tetapi ditolak oleh Najib.
Malah, Anwar juga tetap terus mencabar Najib dalam satu ceramahnya di Felda Tenang setelah Najib menyindirnya Anwar 'akan demam' sekiranya Najib "mendedahkan semua maklumat" tentang Anwar.
"Kami dari jentera pilihan raya PAS dan Pakatan Rakyat bersedia untuk memberikan pentas bebas dan wibawa serta ruang seluasnya bagi pemimpin meyakinkan rakyat dengan seluruh penghujahan mereka atas isu mengapa Pakatan Rakyat atau BN yang wajar disokong rakyat," kata Salahudin.
"Najib jangan lari daripada cabaran (ini). Beliau telah memperlekeh mencemuh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita tidak mahu (debat) isu soal peribadi," katanya.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan